HomeUtamaSabah tidak mahu disifatkan sebagai 'Kerajaan Pengumuman'

Sabah tidak mahu disifatkan sebagai ‘Kerajaan Pengumuman’

Read Time:1 Minute, 44 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah tidak sewenang-wenangnya melaksanakan projek yang kononnya menjanjikan pelaburan dan pulangan berbilion ringgit untuk negeri ini.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan sentiasa mengambil langkah dan pendekatan berhati-hati terhadap suatu projek kerana ianya akan memberi kesan kepada negeri pada akhirnya.

“Saya sekadar membuat satu peringatan kerana dalam beberapa minggu ini saya selalu membaca mengenai pengumuman besar dan saya fikir kita kena lebih berhati-hati dalam membuat pengumuman.

“Sekurang-kurangnya pengumuman yang dibuat itu perlu ada penilaian atau tapisan asas oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terutamanya untuk pelabur dari luar Sabah. 

Adalah lebih baik perkara yang sama dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri dan Invest Sabah Berhad apabila mereka tiba di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sistem Indeks Akauntabiliti Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Masidi berkata, Kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan projek mega di negeri ini namun pihaknya mahu perkara itu dilihat sebagai realistik untuk dilaksanakan.

“Sebagai contoh, apabila kita bercakap mengenai projek bernilai RM10 bilion atau RM20 bilion, orang akan bertanya sama ada bekalan air, elektrik kita mencukupi.  Mereka akan kata (kerajaan) bercakap mengenai pelaburan berbilion ringgit tetapi tidak pernah bercakap tentang menambah baik jalan raya, bekalan air dan elektrik kerana ini yang mereka mahu.

“Sebab itu kita tidak mahu dituduh sebagai ‘Kerajaan Pengumuman’ tetapi gagal melaksanakannya. Sudah pasti ini adalah bagi memastikan kredibiliti kerajaan, dan kerajaan negeri bukan orang yang mudah terpedaya, atau mereka yang mudah ditipu dalam pelaburan,” katanya.

Menurutnya, jika tidak ada kawalan terhadap pengumuman mengenai suatu projek, Kerajaan Sabah khususnya akan terus menjadi bahan jenaka.

Mengenai penswastaan perkhidmatan air di Sabah, Masidi berkata mereka sedang meneliti semua pilihan untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.

Tambahnya, beliau sudah pun mengadakan perbincangan tidak rasmi berhubung perkara itu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri.

“Akhirnya, Jabatan Air Sabah mesti dapat berfungsi dengan baik serta cekap, tidak kira diswastakan atau dalam kerajaan kerana semua yang rakyat mahukan adalah air,” katanya.– SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular