Membakut : Pangkalan data perlu dikemaskini dan diwujudkan bagi memastikan golongan asnaf khususnya di negeri ini tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan Kerajaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, semua ketua-ketua adat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) digesa untuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Katanya, ia adalah bagi mengenal pasti dan mengemaskini pangkalan data berkenaan dari semasa ke semasa seterusnya merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya berharap ketua-ketua adat, JPKK dari semasa ke semasa dapat mengenal pasti golongan bukan sahaja mualaf tetapi juga asnaf yang sepatutnya layak menerima bantuan agar mereka tidak tercicir bantuan sama ada dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atau pihak yang lain.
“Oleh itu, mereka (ketua adat dan JPKK) perlulah membuat pangkalan data dengan JHEAINS di daerah ini untuk mengemaskini data penerima supaya golongan yang berhak menerima bantuan tidak tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Himpunan Mualaf Membakut di Dewan Sri Wawasan Kampunt Pimping di sini semalam.
Arifin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah berkata, pihaknya juga kini sedang mengenal pasti keperluan-keperluan golongan mualaf khususnya dalam aspek pembelajaran agar tidak ketinggalan daripada ilmu agama Islam.
“Di Sabah, kita menganjurkan Program Teratak Hidayah atau Fitrah oleh MUIS yang membiayai bimbingan kepada mualaf di seluruh daerah.
“Ini kerana kita ingin memastikan dari semasa ke semasa golongan mualaf ini mendapat bimbingan agama yang baik, di samping tidak tercicir daripada bantuan asnaf yg disediakan MUIS,” katanya.
Terdahulu, pada program tahunan kali ke-14 itu, Arifin turut menyampaikan sumbangan kepada 628 orang mualaf yang dimulai dengan tazkirah khas oleh ilmuan agama, Datuk Jalidar Abd Rahim.
“Program ini sudah 14 tahun iaitu setiap tahun pada bulan Ramadan kecuali ketika pandemik COVID-19 di mana kita tidak dapat berjumpa beramai-ramai tetapi kita telah menghantar bantuan kepada mereka,” katanya.