HomeUtamaMuzium Sabah lancar Pameran Hijriah dan Ulangtahun Muzium Tamadun Islam Ke-21

Muzium Sabah lancar Pameran Hijriah dan Ulangtahun Muzium Tamadun Islam Ke-21

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Hasrat kerajaan untuk memulihkan sektor pelancongan di negeri ini, pelbagai aktiviti telah rancak dibangunkan termasuklah program-program muzium yang telah dirancang lebih awal sedia menanti kunjungan para pelawat untuk dilawati.

Justeru, Jabatan Muzium Sabah telah menyahut seruan kerajaan melancarkan Pameran Hijriah dan Ulangtahun Muzium Tamadun Islam Ke-21 bersempena dengan sambutan Hari Muzium Sabah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh
Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang berlangsung di Muzium Tamadun Islam, Jabatan Muzium Sabah di sini hari ini.

Christina dalam ucapan perasmiannya berkata, selaras dengan fungsi Jabatan Muzium untuk mengembangkan ilmu pengetahuan masyarakat menerusi pameran-pamerannya, beliau yakin penganjuran pameran ini amatlah bertepatan sekali untuk menggalakkan orang ramai datang ke muzium.

“Semoga pameran ini dapat memberikan pengetahuan mengenai bidang Kalender Islam Global,” katanya.

Menurutnya, program pameran ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebiasaan masyarakat Islam mengikut takwim kalender hijriah dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keindahan kepelbagaian bangsa dan agama di Negeri Sabah yang menjadi lambang perpaduan masyarakat majmuk di Negeri Sabah.

“Kepentingan kalender ini berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang meliputi aktiviti sosial dan keagamaan. Sistem kalender menjadikan kehidupan manusia lebih terurus dan teratur sama ada di dalam bidang ekonomi, perundangan politik hingga kepada hubungan antarabangsa.

“Kalender Hijriah merupakan sistem kalender yang sangat penting bagi umat Islam sebagai rujukan tarikh amalan ibadah wajib, sunat dan harus bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia juga adalah kalender lunar yang dikira berdasarkan kepada pergerakkan bulan mengelilingi bumi. Terdapat 12 bulan dalam kalender Hijriah bermula bulan Muharam hingga ke bulan Zulhijjah dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun,” jelasnya.
 
Manakala Kalender Masihi pula katanya, dikira berdasarkan kepada pergerakkan bumi mengelilingi matahari. Terdapat dua belas bulan dalam satu tahun Masihi bermula dari bulan Januari hingga Disember.
 
“Peristiwa penting atau hari kebesaran Islam dalam Kalender Hijriah di Malaysia ialah seperti Israk dan Mikraj, Awal Ramadan, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidil Fitri, Awal Zulhijjah, Hari Raya Aidil Adha, Awal Muharram dan Maulidur Rasul,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, Christina berkata, sempena dengan Ulangtahun Muzium Tamadun Islam ini yang kebetulan jatuh pada bulan ramadan, pelbagai aktiviti diadakan seperti Bazaar jualan Ramadan, wayang pacak, gunting rambut rahmah, pertandingan gerai tercantik dan pengunjung bertuah. Aktiviti-aktiviti ini juga dirancang akan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini diharap akan dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani,emosi, intelek dan sosial. Disamping itu, secara tidak langsung ia turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat kerja berpasukan dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Muzium Sabah yang telah berusaha untuk merencanakan pameran ini.

“Saya berharap, agar pameran ini akan dapat mencapai objektifnya dan mampu menarik lebih ramai pelawat untuk berkunjung ke muzium Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular