HomeUtamaSESB laksana catuan bekalan jamin kestabilan grid

SESB laksana catuan bekalan jamin kestabilan grid

Read Time:2 Minute, 3 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Catuan terhadap bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah dan Labuan terpaksa dilaksanakan berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, situasi itu juga menyebabkan berlaku peningkatan terhadap permintaan yang tinggi terhadap tenaga elektrik.

Secara purata katanya, permintaan tenaga elektrik pada masa puncak bagi Wilayah Sabah adalah sekitar 970 MegaWatt (MW) pada 26 April lalu dan mencatatkan permintaan tenaga elektrik paling tinggi (Maximum Demand) iaitu sebanyak 1029 MW untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob bin Haji Jaafar

“Jumlah kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah secara amnya boleh menampung jumlah permintaan tersebut.   Walau bagaimanapun, baru-baru ini, terdapat beberapa loji penjanaan telah mengalami masalah di luar jangka menyebabkan loji-loji tersebut tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan Grid Sabah.

“Merujuk kepada kejadian pada 12 April lalu, salah satu stesen janakuasa bebas (IPP) berkapasiti 100 MW telah mengalami kerosakan di luar jangka menyebabkan SESB melakukan catuan bekalan.

“Loji tersebut telah mula beroperasi semula pada keesokannya setelah punca kerosakan dikenal pasti dan dibaiki.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Yaakob berkata, catuan bekalan sekitar 40 hingga 60 MW pada 27 dan 28 April lalu pula terpaksa dilaksanakan disebabkan masalah teknikal luar jangka yang dialami oleh beberapa stesen janakuasa milik SESB dan juga stesen janakuasa bebas hingga hilang kapasiti penjanaan hampir  64MW. 

Katanya, pihak SESB terpaksa melakukan catuan bekalan di beberapa daerah  secara bergilir-gilir untuk menstabilkan sistem grid elektrik untuk mengelakkan keseluruhan Wilayah Sabah mengalami gangguan bekalan.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menangani masalah kekurangan rizab bekalan (reserve margin) khasnya melibatkan isu penambahan penjanaan baru di Sabah dan Labuan.

“SESB ketika ini di dalam proses untuk menaiktaraf sistem pembekalan elektrik di negeri ini dan pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan serta sebahagian daripada usaha-usaha ini kini diperingkat mendapatkan kelulusan pihak pemegang taruh,” katanya.

Katanya, pihaknya turut memahami kesulitan yang dialami oleh pengguna ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Namun pada masa yang sama SESB memohon kerjasama para pengguna untuk turut memahami kekangan-kekangan yang dihadapi oleh SESB dalam memberikan perkhidmatan yang mampan kepada pengguna.

“Para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427 dan juag melalui  aplikasi mySESB,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Rumah atas air roboh, 9 mangsa berjaya diselamatkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular