Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Seramai 60 penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di sini hadir ke Program Taklimat Isu-isu Semasa.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Kota Kinabalu itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kewangan II, Tan Lee Fatt di Dewan IPG Gaya baru -baru ini.
Lee Fatt yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas berkata, objektif program tersebut diadakan adalah bagi meningkatkan keyakinan dan kefahaman masyarakat berkaitan isu-isu semasa.
Antara pengisian program sehari itu adalah taklimat bertajuk Menghadapi Strok Haba dan Kelesuan Haba yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Mohd Hafizuddin Ahmad.
Selain itu, taklimat berkenaan Hak dan Tanggungjawab Sebagai Warga Digital yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah, Heldora Hong turut diadakan.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI) Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Ali Zulhafiz Abd Ghafar, Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Hasmawati Karodda dan Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Gaya, Ahmad Azamuddin Amir Bakar.