HomeSukanRamon perkuat jentera serangan Sabah FC

Ramon perkuat jentera serangan Sabah FC

Read Time:1 Minute, 30 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Jentera serangan kelab bola sepak Sabah FC terus diperkuat apabila menambah seorang lagi pemain import baharu dari Brazil, Ramon Machado de Macedo.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dalam satu hantaran di Facebook Sabah FC turut mengalu-alukan kehadiran pemain berusia 32 tahun itu.

Dengan pengumuman itu, Ramon merupakan pemain import kedua selepas Miguel Ángel Garrido Cifuentes atau turut dikenali sebagai Cifu yang bakal bermain dengan Sabah FC selepas jendela perpindahan dibuka bulan depan.

“Memperkenalkan penyerang terbaharu Sabah FC, Ramon Machado de Macedo yang berasal dari Brazil dan pernah bermain dalam Liga Azerbaijan.

“Ramon membawa banyak bakat dan pengalaman kepada pasukan ini, dengan ketinggian lima kaki 11 inci yang mengagumkan, dia bersedia untuk membuat aksi di atas padang.

“Setelah memulakan kerjaya mudanya di Gremio, Ramon telah mengasah kemahirannya dan kini menyertai kami selepas memenangi piala Azerbaijan baru-baru ini.  Kami sangat teruja untuk memilikinya sebagai sebahagian daripada skuad kami dan tidak sabar untuk melihatnya beraksi.

“Selamat datang ke Sabah FC, Ramon!  Mari pergi dan menakluki ketinggian baharu bersama-sama!,” menurut hantaran yang dimuatnaik di Facebook Sabah FC.

Selain Ramon dan Cifu, Sabah FC juga turut mengekalkan pemain import sedia ada antaranya Park Taesu; Saddil Ramdani; Ko Kwang Min; Gabriel Peres; Telmo Castanheira dan Jailton Paraiba.

Dengan kehadiran Ramon, pemain itu bergandingan dengan Darren Lok di bahagian serangan dan ianya sangat ditunggu-tunggu oleh penyokong berikutan skuad Sang Badak masih lemah di bahagian serangan.

Difahamkan, Ramon sudah mula menyertai sesi latihan bersama pemain sedia ada Sabah FC, namun dijangka hanya diturunkan selepas jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Sabah FC bakal bertemu Kelantan United pada saingan Liga Super pada 26 Jun ini bertempat di Stadium Sultan Mohammad IV dan kini berada ditangga kelima dengan mengutip 24 mata. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan bola sepak medan cungkil bakat baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular