BERNAMA
Kuala Lumpur : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat ribut tropika kuat (Talim), yang dikesan berlaku kira-kira 1,327 kilometer (km) barat laut Kudat, Sabah.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan ribut tropika itu terjadi pada kedudukan latitud 18.8 utara dan longitud 116.1 timur, kira-kira 451 km ke tenggara Hong Kong, China.
Berdasarkan pencerapan pada 8 pagi, jabatan itu memberitahu ribut tropika berkenaan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 10 km sejam (km/j) dan boleh mencapai maksimum 92 km/j.
MetMalaysia menjelaskan keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan. BERNAMA