Kota Kinabalu : Kolaborasi pintar antara agensi Kerajaan dan institusi agama dalam menganjurkan program keagamaaan merupakan salah satu aspek dan konsep penting dalam memastikan ikatan persaudaraan terus terjalin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, meskipun berlainan bidang tugasan namun matlamat adalah sama bagi memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim.
“Oleh itu, semua agensi yang terlibat biarpun bidang tugasan antara agensi ini berlainan tetapi matlamatnya adalah untuk memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim.
“Saya menyeru agar kita meneruskan hubungan yang baik dalam kalangan agensi khususnya yang berada di negeri Sabah ini, kita perbetulkan niat dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.
Majlis itu dianjurkan betsama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Arifin berkata, semua agensi terlibat diharap dapat terus menggarap nilai perpaduan dalam kalangan agensi Kerajaan negeri dan Persekutuan selaras dengan tema sambutan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
Katanya, nilai itu juga diharap dapat dibawa kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Kita bersyukur di Sabah ini walaupun mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum serta anutan agama yang pelbagai tetapi kita dapat hidup dalam keadaan harmoni.
“Inilah teras kekuatan kita di negeri Sabah yang tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berharap agar penganjuran sambutan itu akan membuka lembaran baru kepada agensi terlibat untuk melangkah ke hadapan dengan semangat yang jitu bagi membangun agama, bangsa dan negara ke arah yang lebih baik.
“Saya mengharapkan kebersamaan setiap agensi dapat diteruskan bagi menjaga kemaslahatan ummah agat sejajar dengan matlamat hijrah yang diperjuanhlam baginda Nabi S.A.W yang mementingkan nilai perjuangan, pengorbanan dan persaudaraan,” katanya. – SABAH MEDIA.