Kota Kinabalu : Aplikasi khas berasaskan teknologi ‘remote sensing’ e-SMART kini boleh digunakan nelayan pesisir pantai di negeri ini yang berupaya membantu mengenalpasti potensi lokasi ikan di perairan Sabah.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Petro Galim berkata, aplikasi yang boleh dimuat naik dalam telefon bimbit itu akan mensasarkan seramai 350 nelayan sebagai permulaan untuk dilatih mengendalikan aplikasi itu.
Katanya, aplikasi itu juga kini masih dalam proses pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Setakat ini seramai 120 nelayan dari seluruh negeri sudah dilatih untuk menggunakan aplikasi itu menerusi inisiatif Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
“Ini hanya jumlah minimum yang ditetapkan setakat ini tetapi kita mahu seramai mungkin nelayan pesisir pantai dapat memanfaatkan aplikasi ini dalam usaha menambah hasil tangkapan mereka.
“Penggunaan aplikasi ini juga dapat mengurangkan kos operasi kerana nelayan boleh mengesan lebih awal lokasi ikan sebelum menjejakinya menggunakan alat sistem kedudukan global (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bagi melancarkan aplikasi e-SMART itu di sini, hari ini.
Peto turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara KO-NELAYAN dan MYSA berhubung kerjasama membangunkan aplikasi e-SMART untuk kegunaan nelayan di Sabah.
KO-NELAYAN diwakili Pengurus Besar KO-NELAYAN, Yusof Awang Besar manakala MYSA diwakili Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, manakala Pengerusi KO-NELAYAN, Kong Soon Choi turut menyaksikannya.
Peto berkata, ketika ini aplikasi e-SMART untuk kegunaan nelayan di Sabah itu masih di peringkat percubaan dan belum selesai dibangunkan sepenuhnya.
“Ia sama seperti aplikasi lain yang boleh dimuat naik, cuma sekarang ia masih di peringkat awal dan perlu dimuat naik ke telefon bimbit pengguna (nelayan) oleh pihak KO-NELAYAN dan MYSA.
“Selepas proses pembangunannya selesai, aplikasi ini juga mungkin boleh dimuat naik sesiapa saja melalui Playstore telefon bimbit,” katanya.
Dalam pada itu, Peto berkata, aplikasi itu tidak akan memakan data yang banyak kerana hanya digunakan bagi mengesan lokasi ikan sebelum nelayan menjejakinya di laut.
Terdahulu, Yusof menyifatkan kerjasama di antara KO-NELAYAN dengan MYSA membangunkan aplikasi e-SMART sangat penting dalam membawa inovasi dan pembaharuan kepada komuniti nelayan dan induatri perikanan di Sabah. – SABAH MEDIA