HomeIsu tempatanEksesais Samudera Perkasa Timur perkukuh pengoperasian bersama di perairan

Eksesais Samudera Perkasa Timur perkukuh pengoperasian bersama di perairan

Read Time:2 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 1/2023 telah berjaya memperkukuh kesiagaan agensi penguatkuasa maritim dalam menekankan kepentingan aspek komunikasi dalam pengoperasian bersama.

Eksesais yang julung kali dilaksanakan itu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Pemerintahan Armada Timur.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Eksesais berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) itu menjadikan perairan Laut China Selatan sebagai lokasi bagi menguji keberkesanan prosedur tetap operasi bersama di antara Maritim Malaysia dan TLDM.

Eksesais bilateral ini telah menyaksikan seramai 300 warga daripada kedua-dua pasukan keselamatan menjalin kerjasama serta memperhalusi pemahaman dalam latihan maritim secara inter-agensi khususnya dalam penguatkuasaan undang-undang persekutuan dalam pengoperasian maritim.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik  berkata,penganjuran eksesais itu dilihat dapat memberi nilai tambah kepada keupayaan pengoperasian bersama dalam aspek penguatkuasaan undang-undang persekutuan serta pelaksanaan mencari dan menyelamat di laut (MSAR) di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, eksesais itu jelas mencapai objektifnya serta menzahirkan tentang kepentingan untuk eksesais seperti ini diteruskan bagi pengukuhan kerjasama kedua pasukan.

“Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menghargai peluang kerjasama yang diberikan kepimpinan Markas Pemerintahan Armada Timur, TLDM dalam menganjurkan eksesais siri ini secara bersama.

“Manfaat dan hasil positif yang diperolehi jelas dapat memantapkan kemahiran masing-masing di samping merancakkan pembangunan kapasiti di dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, antara aset-aset yang terlibat mewakili Maritim Malaysia adalah KM ARAU, KM IKHLAS, KM TABAH, BOT KILAT manakala TLDM pula menampilkan KD KEDAH, KD BADIK dan Fast Combat Boat (FCB) bagi menjayakan eksesais ini.

Turut mendukung kepada misi pengoperasian bersama, elemen pasukan elit kedua pasukan iaitu Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) turut dilibatkan.

Sementara itu, fasa pelabuhan yang merangkumkan pelbagai aktiviti perkongsian ilmu dan diskusi telah dijayakan di Kampus INTAN, Sabah dan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Menerusi fasa teori, peserta didedahkan dengan kepentingan first responder dan pengenalan asas berkaitan peranan kedua-dua agensi ketika melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (CARILAMAT) maritim.

Selain itu, table top exercise (TTX) sebagai persediaan awal sebelum melaksanakan simulasi di laut turut terlaksana. Di peringkat ini, kedua-dua agensi saling bertukar pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengoperasian serta atur gerak aset-aset ketika berada di laut.

“Antara subjek eksesais yang menjadi fokus ialah navigasi, high risk visit, board, search, and seizure (VBSS), pengendalian dan gerakan taktikal, search and rescue exercise (SAREX).

“Menerusi senario yang disuntik ke dalam eksesais ini, semua peserta yang terlibat dapat menguji kefahaman dan kemahiran sedia ada di samping menimba pengalaman baharu bagi mereka yang pertama kali menyertai eksesais seperti ini. Ianya juga dapat memberi kefahaman dalam memahami prosedur operasi standard (SOP) sebagai persediaan kepada keperluan operasi pada masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penggunaan teknologi terkini pemangkin kelestarian hutan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular