HomeUtama21 pelajar Program Khas Persediaan Ke Timur Tengah KTYS, terima wang saku...

21 pelajar Program Khas Persediaan Ke Timur Tengah KTYS, terima wang saku dari Bank Islam

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 21 pelajar Program Khas Persediaan Ke Timur Tengah, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima sumbangan wang saku sebanyak RM1,000 seorang daripada Bank Islam Malaysia Berhad dalam satu Majlis Penyerahan Sumbangan yang berlangsung di Bilik Sipadan, KTYS, Sembulan, di sini, hari ini.

Pengarah Deposit Sabah, Bank Islam Malaysia Berhad, Nona Baria Saruddin menyerahkan replika cek bernilai RM21,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif, KTYS, Haji Samin Ongki pada majlis penyerahan sumbangan tersebut.

Nona (tiga kiri) menyerahkan sumbangan replika cek bernilai RM21,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki (tiga kanan) pada majlis itu.

Nona berkata, ini adalah tahun yang ke sekian kalinya Bank Islam dengan jalinan kerjasama dengan pihak Kolej Teknologi Yayasan Sabah memberi sumbangan kepada 21 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

“Ini salah satu rangkuman sosial Bank Islam. Memang kita bekerjasama dengan pelajar-pelajar dalam hal-hal yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar khususnya di Negeri Sabah.

“Ia juga terbuka kepada mana-mana pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk menjalin kerjasama ini sebagai rakan strategik.

“Walaupun kita di Bank Islam ini adalah bank komersial tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Haji Samin berkata, Program Khas Persediaan Ke Timur Tengah oleh KTYS yang julung kali diadakan di negeri Sabah ini telah menarik perhatian Bank Islam kepada kolej untuk menyumbang saguhati ataupun wang saku sebanyak RM1,000 untuk setiap pelajar yang akan bertolak ke Jordan dan juga Mesir dalam pertengahan bulan September ini.

“Saya sangat terharu di atas insiatif Bank Islam ini, mudah-mudahan dengan sumbangan ini akan memotivasikan anak-anak kita yang akan ke Timur Tengah supaya belajar bersungguh-sungguh dan membawa balik kejayaan,” katanya.

Haji Samin turut berharap program tersebut akan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan bilangan pelajar lebih ramai dan ini akan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar yang sedang berada di bangku sekolah menengah yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Pelajar-pelajar ini (SPM/STAM) sebenarnya mereka ada peluang untuk ke Timur Tengah, Yayasan Sabah selain daripada Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) dan Kerajaan Negeri bersedia untuk memberi pembiayaan,” jelas beliau.

Tambah beliau, setakat ini pihak yang tampil memberikan sumbangan adalah Yayasan Sabah dan Bank Islam.

“Walau bagaimanapun saya difahamkan pelajar-pelajar ini akan mendapat sumbangan dari Kerajaan Negeri sebanyak RM2,000 dalam bentuk bantuan khas kemasukan ke pengajian tinggi peringkat ijazah.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS ingin membiayai tiket penerbangan mereka, jadi kita sedang menunggu pihak-pihak berkenaan untuk menghubungi kami dan kita akan berikan kerjasama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular