Kota Kinabalu : Penyerang Sabah FC Darren Lok mengakui gembira dengan aksi yang dipamerkan pasukannya apabila berjaya menundukkan Hougang United FC 3-1 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas, malam tadi.
Katanya, meskipun bermain dalam keadaan padang becak namun banyak perkara positif yang dilakar pasukannya malam tadi selain mereka juga dapat bermain dengan agak baik.
Beliau yang turut berjaya menyumbang dua gol untuk Sabah dalam perlawanan itu, berkata pasukannya juga terpaksa bergelut dengan keadaan padang yang licin berikutan hujan yang agak lebat sepanjang permainan.
“Tidak semestinya keadaan padang memberi kelebihan kepada kita kerana kita juga berdepan kesukaran bermain mengikut perancangan yang kita buat.
“Kita terpaksa berhati-hati sepanjang permainan tetapi tidak banyak yang kita boleh lakukan,” katanya ditemui selepas perlawanan malam tadi.
Pemain kebangsaan itu menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-38 selepas berjaya meloloskan bola hasil sepakan sudut Saddil Ramdani ke arah gawang Hougang, sebelum sekali lagi mencipta jaringan melalui tandukan pada minit ke-62.
Gol kedua Darren terhasil melalui serangan balas Sabah FC, iaitu seminit selepas pemain Hougang, Takayama Kazuma mencipta gol tunggal pasukan pelawat.
Satu lagi gol Sabah dijaringkan menerusi tandukan Gabriel Peres pada minit kelima selepas menerima hantaran daripada Daniel Ting yang membolehkan Sabah mendahului perlawanan sejak awal permainan.
Sementara itu, penjaga gol Sabah, Damien Lim, berkata malam tadi adalah aksi pertamanya selepas tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan kerana mengalami kecederaan.
Beliau berkata, keserasian semua pemain Sabah FC membolehkan permainan malam tadi berjalan agak baik walaupun berdepan keadaan padang yang licin akibat hujan.
“Keadaan padang memang merisaukan tetapi kredit kepada semua rakan pasukan saya kerana bermain dengan bagus. Kita tahu padang dan cuaca memainkan peranan juga, tapi kita ikut arahan jurulatih untuk melaksanakan tugas dengan baik,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC