HomeUtamaMAFI jamin kelancaran rantaian bekalan dan sekuriti makanan negara sepanjang pelaksanaan PKP...

MAFI jamin kelancaran rantaian bekalan dan sekuriti makanan negara sepanjang pelaksanaan PKP 3.0

Read Time:1 Minute, 53 Second

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk mengetatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dalam usaha untuk mengawal dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat. 

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pada masa sama, MAFI akan memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara sepanjang pelaksanaan PK 3.0 pada kali ini. 

Tambah beliau, sektor pertanian dan industri makanan akan terus diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services) dan dibenarkan beroperasi sepanjang masa dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu. 

“MAFI telah mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak terus diberi kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan,” katanya selepas perjumpaan bersama komuniti nelayan di Kampung Terusan Sugut, hari ini. 

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, YB Samad Jambri.

Sejajar dengan usaha itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata MAFI juga mengambil pelbagai langkah dan usaha bagi terus memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan. 

Beliau berkata kerajaan akan memastikan bekalan makanan bagi bahan makanan utama iaitu beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan terus berada pada tahap stabil dan mencukupi. 

Pada masa yang sama, Ronald juga mengingatkan golongan petani, nelayan dan penternak serta pengusaha industri agromakan secara keseluruhannya sentiasa mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri sepanjang masa. 

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kebajikan barisan hadapan sektor agromakanan ini dipelihara dan diberi keutamaan.

Perkhidmatan bilik gerakan Crisis Management Centre (CMC) juga telah dibuka semula selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berfungsi sebagai pusat utama penerimaan panggilan, pusat amaran awal (early warning centre), centralized command centre dan pusat pelaporan situasi harian untuk mendapatkan maklumat terkini setiap sektor dan industri. 

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 0388701491/1664 atau di http://mafi.spab.gov.my. 

Selain itu, sistem pemantauan data dan isu bekalan harian (SITREP) seluruh negara yang dilaksanakan oleh MAFI sejak PKP 1.0 akan terus menjana status semasa dan laporan bekalan makanan ke atas 8 komoditi utama. Laporan ini dikemukakan kepada MKN bagi tujuan pemantauan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular