KOTA KINABALU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited membantu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah untuk mewujudkan rantaian industri padi yang lengkap dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim, berkata usaha itu sejajar usaha merealisasikan cadangan untuk menjadikan Sabah sebagai jelapang padi yang kedua negara.
Katanya, rantaian industri padi yang lengkap merangkumi proses penyediaan benih padi, pembajakan, penanaman, pembajaan, penuaian dan pengilangan padi.
“Konsep kita, benih kita sediakan, tanam padi kita yang tanam, manakala membajak dan penuaian padi juga menggunakan jentera PPN.
“Kita juga berharap ada kilang padi juga di Sabah nanti sekali gus membentuk rantaian industri padi yang lengkap di Sabah.
“Ini antara harapan kita dan PPN Sabah untuk menjayakan saranan menjadikan Sabah sebagai jelapang padi yang kedua,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah Ke-35, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin dan Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad.
Nik Mohd Shaharil berkata, Sabah mempunyai banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam pertanian, termasuk untuk dijadikan jelapang padi kedua demi keselamatan makanan
Katanya, beberapa daerah di negeri ini, khususnya Kota Belud, Papar, Keningau, Pitas dan Beluran memiliki kawasan yang luas untuk penanaman padi.
Berikutan itu, beliau berkata PPN Sabah perlu diberi keutamaan dalam mengembangkan lagi industri padi di negeri ini agar lebih ramai ahli Pertubuhan Peladang dapat dilibatkan dalam aktiviti berkenaan.
“Kerajaan meletakkan harapan agar PPN sama-sama merelisasikan usaha untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi negara yang ketika ini mencapai kira-kira 70 peratus,” katanya.
Terdahulu, Mohd Nazri berkata, sudah tiba masanya Pertubuhan Peladang di Sabah bertindak lebih aktif dalam merancang dan melaksanakan projek pertanian atau industri berasaskan makanan di negeri ini.
Katanya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan dengan bantuan dana yang disediakan kerajaan melalui LPP asalkan Pertubuhan Peladang, termasuk di peringkat kawasan (PPK) mengemukakan permohonan dana untuk projek yang mahu dilaksanakan.
“Masalahnya kita tidak memohon sedangkan banyak peruntukan diberikan. Jadi saya mahu Pertubuhan Peladang di Sabah membuat permohonon bermula projek untuk tahun depan.
“Kadang-kadang kita marah kepada kerajaan apabila LPP tidak memberikan peruntukan tetapi kita yang tidak memohon. Jadi, saya minta kepada semua PPK di Sabah buatlah permohonan,” katanya.