HomeIsu tempatanLakukan ujian Talasemia sebelum berkahwin

Lakukan ujian Talasemia sebelum berkahwin

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Marudu : Individu khususnya pasangan yang berhasrat untuk berkahwin perlu melakukan ujian Talasemia bagi mengetahui status kesihatan sebelum berkahwin.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Redonah Bahanda berkata, ujian awal sebelum perkahwinan mampu memastikan penyakit Talasemia berada dalam keadaan terkawal.

“Ujian tersebut adalah untuk mengenal pasti sama ada pasangan yang bakal berkahwin adalah sihat, atau pun pembawa talasemia sama ada minor, intermedia atau pun major, dengan itu pasangan dapat mengetahui status kesihatan sebelum berkahwin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Talasemia Zon Utara iaitu Kota Marudu, Kudat, Pitas dan Matunggung yang dianjurkan oleh Persatuan Thalasemia Cawangan Kota Marudu bersama, Persatuan Lung Yen dan Skuad Ar-Rayyan Beaufort, bertempat di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini baru-baru ini.

Program yang menggabungkan konsep mendidik, memberi kesedaran dan menimbulkan rasa keprihatinan masyarakat tentang Talasemia itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 300 pengunjung.

Redonah turut memuji usaha bersama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang telah menjayakan program tersebut dengan jayanya.

Antara pameran informatif dan menarik pada program itu ialah Kesedaran Talasemia, Program Saringan Kesihatan iaitu Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan oleh Klinik Kesihatan Langkon, Kaunter Promosi Kesihatan dan Program Derma Darah dari Hospital Kota Marudu.

Program Derma Darah turut diadakan bersempena dengan sambutan kali ini, dengan sejumlah 68 beg darah berjaya dikutip untuk kegunaan tabung darah Hospital Kota Marudu dan daerah terdekat.

“Saya turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada badan bukan kerajaan yang turut terlibat dengan penganjuran kali ini antaranya Persatuan Lung Yen Sabah, Persatuan Kebajikan Hongmen Sabah dan Skuad Ar-Rayyan Batu 60 Beaufort,” kata Redonah lagi.

Tambah Redonah lagi, peranan ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan amat penting dalam memberi semangat kepada pengidap Talasemia manakala orang ramai pula digesa untuk terus membantu dengan menderma darah dari masa ke semasa.

Program Sambutan Hari Talasemia Zon Utara iaitu Kota Marudu, Kudat, Pitas dan Matunggung turut mendapat sokongan dari Pejabat Daerah Kota Marudu, Pejabat Penerangan Daerah Kota Marudu, Persatuan Thalasemia Sabah dan agensi-agensi kerajaan di Daerah Kota Marudu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penubuhan CEDP komitmen UMS pacu penyelidikan bagi bantu pembangunan dasar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular