HomeIsu tempatanSuami isteri warga emas berdepan detik cemas, bot dinaiki hanyut ke Filipina

Suami isteri warga emas berdepan detik cemas, bot dinaiki hanyut ke Filipina

Read Time:1 Minute, 59 Second

Sandakan: Pasangan suami isteri warga emas berhadapan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak dan hanyut sehingga ke perairan Filipina ketika dalam perjalanan dari Terusan Sugut menuju ke Batu Putih, Sandakan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang selepas bertolak dari Kampung Terusan Sugut menuju ke rumah anaknya di Kampung Batu Putih dengan menaiki bot gentian kaca pada jam 8 pagi, Ahad lalu dan sepatutnya tiba dua jam kemudian.

Zainuddin berkata, apabila mendapati kedua-dua mereka tidak tiba pada waktu yang sepatutnya, menantu kepada pasangan terbabit, Midin Siran telah membuat laporan kepada pihak Maritim Malaysia tentang kehilangan pasangan itu.

Katanya, setelah mendapat laporan dari Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Sandakan, Martime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 6.30 petang hari yang sama.

Beliau menambah, walau bagaimanapun pencarian pasangan warga emas itu ditamatkan setelah mereka berdua dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina kelmarin.

“Mangsa telah diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang kemudiannya menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan dan diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia di kawasan berhampiran Tanjung Pamaguan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut bagaimana kedua-dua mereka hanyut hingga ke perairan Filipina, Zainudin  berkata, mangsa memaklumkan, mereka menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun telah tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.

“Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak.

“Bagi mengelakkan daripada tersesat untuk ke destinasi yang dituju, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.

“Walaubagaimanapun, setelah beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md Asibih telah memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut.

“Malangnya tindakan itu membuatkan mereka berdua tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Zainudin  berkata, pihaknya mengingatkan kepada komuniti maritim agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sekiranya berlakunya insiden di laut, orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” katanya. FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pementasan teater ‘Salina’ bermula Jumaat ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular