Kota Kinabalu: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan melahirkan tenaga kerja terlatih.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perjanjian tersebut merupakan kerjasama dalam bidang pendidikan dan Program Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) untuk menyediakan belia dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan.
“Melalui penambahbaikan, peningkatan kemahiran dan pengetahuan mengikut keperluan serta pengiktirafan industri akan memberi jaminan peluang pekerjaan sekaligus menterjemah usaha kerajaan negeri melalui JPSM mengurangkan kadar pengangguran.
“Saya berharap memorandum kerjasama yang termeterai nanti akan memberikan lembaran baharu antara JPSM dengan MARii dalam usaha membangunkan modal insan dan memberi pulangan serta output tinggi meningkatkan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JPSM dan MARii di Wisma Bandaraya di sini semalam.
Arifin berkata, menjelang 2035, JPSM sebagai peneraju pembangunan modal insan berusaha menyediakan dan memperkasakan kompetensi tenaga kerja melalui pelbagai program latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja.
“Sabah Industry LED Professional Certificate (SIPC) Programme telah dilaksanakan pada 5 hingga 28 September 2023 di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun memulakan kerjaya di dalam industri automotif.
“Program komprehensif ini direka khusus untuk melengkapkan lepasan sekolah dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan sebagai kru pengeluaran industri.
“Turut diadakan Sabah Industry Certificate Engineering – Digital Engineering Prototyping Program (SICE-DEP) pada 5 hingga 4 Oktober 2023 yang menyediakan peluang unik memulakan kerjaya dalam industri automotif dan telah disertai 24 peserta,” katanya.
Pada majlis tersebut, Arifin merakamkan ucapan penghargaan kepada MARii kerana telah menyumbangkan peralatan yang pernah digunakan sebagai Dojo di MARii Satellite Sabah kepada Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di bawah seliaan JPSM.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu institusi latihan di Sabah dalam membina pengetahuan yang berkaitan industri automotif, pembuatan dan melatih bakat masa depan negeri ini.
Pada majlis tersebut JPSM telah diwakili oleh pengarahnya Dg Norsiah Ag Duraman sementara Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Reza Aziz mewakili MARii sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Kanan MARii Bakri Alias.
Turut hadir menyaksikan majlis itu Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Harun Durabi serta Setiausaha Tetap KSTI Datuk Hanafiah Mohd Kassim.