HomeUtamaVisa percuma pengunjung China, India petanda baik sektor pelancongan Sabah

Visa percuma pengunjung China, India petanda baik sektor pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu : Keputusan kerajaan persekutuan memberikan visa percuma 30 hari untuk kemasukan ke negara ini dari China dan India bermula 1 Disember depan disifatkan sebagai petanda baik kepada sektor pelancongan, khususnya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 2.2 juta ketibaan pelancong pada tahun ini.

Katanya, sehingga kini sebanyak 85.6 peratus daripada sasaran itu sudah dicapai dan hanya tinggal kurang 15 peratus saja lagi untuk mencapai sasaran 2.2 juta pelancong menjelang akhir bulan depan.

“Industri pelancongan sudah kembali kepada keadaan normal dan kerajaan negeri turut melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah.

“Setakat ini, Sabah dihubungkan dengan lapan bandar raya besar di China iaitu Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou, Wuhan, Macau dan Hong Kong dengan 63 penerbangan mingguan dan 11,360 kapasiti tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, berdasarkan rekod antara Januari hingga September lalu, Sabah mencatat ketibaan seramai 45,801 pengunjung dari China, berbanding hanya 4,162 ketibaan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Katanya, bagi kemasukan warga India ke Sabah, seramai 4,176 ketibaan direkodkan setakat September tahun ini berbanding 2,734 dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Dengan pengenalan polisi 30 hari visa percuma dari dua negara paling ramai penduduk di dunia ini, ia dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan sektor pelancongan.

“Kita juga berharap lebih banyak kesalinghubungan udara bagi meningkatkan ketibaan pengunjung ke Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular