Labuan : Dua individu yang disyaki mencuri peralatan besi dari sebuah kapal kargo berdekatan Pulau Daat di sini berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Maritim Malaysia berjaya menahan dua individu berkenaan bersama sebuah bot kayu di kedudukan 0.09 batu nautika timur laut Jeti Liberty Labuan sekitar jam 9.30 malam pada Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah mengesan sebuah bot kayu tiada nombor pendaftaran berwarna biru dan jingga sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 0.02 batu nautika tenggara Jeti Liberty Labuan.
“Pemeriksaan ke atas bot kayu yang tidak memiliki lesen sah operasi itu mendapati terdapat dua orang lelaki, yang mana salah seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bot dipenuhi dengan besi terpakai disyaki dicuri dari kapal kargo yang terkandas berdekatan Pulau Daat.
“Dua kru bersama bot serta besi terpakai ditahan dan diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Izwanhadi berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 474 (2) dan Seksyen 385 (3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan secara salah mengangkut atau mengalih mana-mana bahagian kapal wrek atau kargo dan bot tidak memiliki lesen yang sah untuk beroperasi serta awak-awak tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Jika didapati bersalah di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, setiap kesalahan boleh didenda RM 1,000 dan RM 500.
“Hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali beserta sebatan tidak lebih enam kali jika didapati bersalah di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Izwanhadi menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA