HomeIsu tempatanKegiatan bom ikan di perairan Pulau Tiga berjaya digagalkan

Kegiatan bom ikan di perairan Pulau Tiga berjaya digagalkan

Read Time:1 Minute, 46 Second

Labuan : Dua lelaki dipercayai warga asing yang disyaki melakukan kegiatan mengebom ikan berjaya ditahan dalam rondaan operasi khas sekitar perairan Pulau Tiga di sini, kelmarin.

Operasi khas yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Taman-Taman Sabah (TTS) itu turut menahan sebuah bot jenis kayu tanpa nombor pendaftara di posisi lebih kurang 1.0 batu nautika selatan Pulau Tiga jam 10.30 malam dua hari lalu.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, dua lelaki dipercayai warganegara Filipina itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu katanya, turut dijumpai peralatan seperti tiga botol berisi serbuk putih (Ammonium Nitrate) disyaki digunakan sebagai bom beserta dua tong yang digunakan untuk menyimpan hasil ikan.

Katanya, bot dan dua lelaki yang ditahan diiring ke Jeti APMM Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kayu serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis dianggarkan sebanyak RM 20,000.

“Jika didapati bersalah di bawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985, denda maksimum RM 20,000 atau penjara selama tempoh dua tahun, atau kedua- duanya,” katanya.

Izwanhadi berkata, hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali beserta sebatan tidak lebih enam kali jika didapati bersalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Izwanhadi berkata, aktiviti mengebom ikan merupakan satu aktiviti yang bukan sahaja diharamkan dari segi undang-undang, malah ianya juga memusnahkan ekosistem marin serta membunuh hidupan marin dan nyawa manusia.

Katanya, operasi di laut senantiasa dipertingkatkan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan.

“Maritim Malaysia menyeru supaya aktiviti pengeboman ikan dihentikan dan tindakan yang tegas akan diambil kepada pelaku-pelaku aktiviti ini.

“Operasi dan rondaan berkala akan dijalankan segenap masa bagi memastikan keamanan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang berada di tahap tertinggi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular