KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menyeru pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan tegas kepada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab suka menimbulkan ketegangan serta menggugat perpaduan Sabah.
“Saya menyeru khasnya kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk pandang isu ini sebagai isu yang sangat serius.
“Tindakan tegas dan keras harus diambil dan dikenakan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menimbulkan kekacauan serta menganggu perpaduan sejagat di Sabah keseluruhannya.
“Mereka yang tergolong dalam golongan ini memang tidak patut diberi muka dan mereka sebenarnya adalah duri dalam daging yang jika dibiarkan, mereka akan merebak, menjadi ‘virus’ yang kelak apabila sudah menular ke seluruh komuniti, ia akan menjadi semakin parah dan sukar untuk dibendung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media disini pada Sabtu.
Menurut Fairuz yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat itu lagi, Sabah adalah sebuah negeri yang harmoni dengan komposisi penduduk pelbagai kaum dan berbilang agama sejak dulu dan telah hidup harmoni serta saling menghormati.
“Sekarang, sudah ada yang berani memain-mainkan sentiment agama, kaum, bangsa, bahkan lebih teruk lagi, menjadi batu api serta menghasut pihak lain untuk mengikuti pandangan mereka.
“Ini tindakan yang sangat tidak wajar, sangat keji dan memalukan kerana kita hidup aman damai sejak sekian lama, kini apabila wujud segelintir daripada mereka yang mungkin kurang perhatian ini ya boleh saya katakan, terus mereka mahu merosakkan kaharmonian kita.
“Orang tanpa segan silu boleh saling menghina dan sinis terhadap satu sama lain, hasil daripada apa, hasil daripada mereka ini lah yang mewujudkan sentiment kebencian, lebih-lebih lagi yang berkaitan 3R,” katanya lagi.
Jelas Fairuz lagi, fokus kerajaan dan masyarakat semasa adalah untuk saling menjaga dan memastikan semua usaha pembangunan serta masalah-masalah rakyat dapat diatasi, namun pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan sentiment negatif 3R pula mahu memecahbelahkan keharmonian dan kesejahteraan perpaduan.
“Kita masih ada banyak hal untuk diurus dan diselesaikan kerana kita sekarang berdepan masalah cuaca panas, jerebu, kebakaran dan bekalan air.
“Kita mahu fokus untuk usaha menyelesaikan masalah-masalah ini, apatah lagi dalam masa beberapa hari sahaja lagi, ummat Islam bakal menyambut Aidilfitri.
“Andai kata masalah penghasut dan penyebar fitnah yang masih berleluasa tanpa penyelesaian ini, terus menerus merebak dalam kalangan komuniti kita, pastinya ia akan merencatkan penyatuan dan kerjasama kerana pasti akan ada pihak yang terpengaruh.
“Lebih parah lagi jika ada yang membuat perhimpunan haram, berdemonstrasi, berkumpul dan bergaduh di khalayak umum, pastinya isu ini akan menjejaskan imej negeri Sabah, bahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara harmoni yang berpegang kepada prinsip perlembagaan,” ujar beliau lagi.
Fairuz turut menasihati rakyat khasnya komuniti pengguna sosial media untuk menggunakan platform sosial media secara bijak dan tidak sewenang-wenangnya membuat hantaran yang berunsur negatif serta menyentuh isu 3R.
“Jadi pengguna media sosial yang bijak dan peka terhadap isu semasa.
“Tidak salah untuk menggunakan sosial media sebagai ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi, namun jika tujuan penggunaan sosial media itu adalah negatif dan ingin menjadi pahlawan papan kekunci yang lancang berkata-kata disebalik layar gajet semata-mata, pastinya yang rugi itu diri sendiri.
‘Percayalah, anda selamat jika anda tidak tertangkap, namun jika anda tertangkap, hukuman kepada kesalahan seumpama ini agak besar dan saya yakin anda pasti malu seumur hidup kerana tindakan anda menjadi pencetus kepada fitnah dan kekacauan dalam kaharmonian masyarakat itu, pasti akan diingati selamanya oleh semua komuniti kita,” jelasnya lagi.