Kota Kinabalu : Sabah mengambil beberapa langkah dalam memastikan agenda kemiskinan tegar di negeri ini dapat dinoktahkan dengan lebih cepat.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) Ramlee Kariah berkata, ia termasuklah kerjasama dengan beberapa agensi Kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Seperti mana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menoktahkan miskin tegar di Malaysia, sudah tentu Kerajaan Sabah juga mahu agenda ini dilaksanakan bersama.
“Justeru Ketua Menteri telah meminta SSMJ bersama pelbagai agensi, jabatan negeri Sabah termasuklah Kerajaan Persekutuan dan badan berkanun lain menggembeleng usaha dan tenaga untuk mencapai supaya miskin tegar dapat dinoktahkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama media anjuran sekretariat berkenaan di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Ketua Penyelaras SSMJ Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.
Hadir sama, Pengarah SSMJ yang juga Pengerusi Penganjur Rosnih Othman
Ramlee berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan diperingkat Kabinet yang dipengerusikan Ketua Menteri dan jawatabkuasa teknikal telah dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah.
Katanya, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi melihat agenda menoktahkan kemiskinan menerusi pelaksaan Pemprofilan Data Ketua Isi Rumah (KIR).
“Setiap KIR itu akan diambil data berdasarkan keperluan masing-masing dan akan ada intevensi atau bantuan yang akan disalurkan.
“Apabila selesai Pemprofilan Data maka proses pemadanan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti jenis bantuan yang perlu diberikan.
“Alhamdulilah, setakat ini projek rintis kita telah mulakan di daerah Tuaran. Kita telah berjaya menyediakan Pemprofilan Data dan pemadanan sedang berlaku. Begitu juga di daerah lain proses sama juga sedang dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosnih berkata, penganjuran program bersama pengamal media itu adalah bagi menghargai peranan dan sokongan media kepada SSMJ.
“Malam ini kami menjemput lebih kurang 40 wakil media yang ada di Sabah. Kami mengadakan program seumpama ini adalah bagi menghargai pengamal media yang banyak melaporkan berita sahih sejak SSMJ dilancarkan sebelum ini,” katanya. – SABAH MEDIA