HomeSukanJoão Pedro diharap selesaikan masalah penyudah tumpul

João Pedro diharap selesaikan masalah penyudah tumpul

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Kehadiran pemain import terbaharu Sabah FC João Pedro Boiera Duarte mampu menyelesaikan ketumpulan jentera bahagian serangan khususnya bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau berharap agar pemain ini dapat memberikan sumbangan serta impak segera selepas Ramon Machado meninggalkan Sabah FC bulan lalu.

Katanya, para peminat harus faham agar tidak menyamakan kualiti permainan antara Ramon serta João Pedro berikutan mereka merupakan striker yang berbeza.

“Harapan saya sudah tentu untuk melihat João Pedro beraksi cemerlang serta memastikan kita mempunyai pengganti yang sama seperti Ramon untuk membantu jentera serangan.

“Isu penyudah tumpul  yang sebelum ini menggagalkan usaha Sabah FC untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam saingan Liga Super diharap selesai dengan kedatangan João,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kim Swee berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan terutama kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Ir. Shahelmey Yahya kerana memberikan persetujuan untuk mencari pengganti Ramon Machado.

“Ini termasuk juga kepada pengurus pasukan Sabah FC, Rafie Robert dan pengurus Sabah FC II, Datuk Abdul Kassim Razali yang banyak membantu untuk mendapatkan khidmat pemain import terbaharu ini.

“Kita akan pastikan João Pedro dapat menyesuaikan diri dengan cara taktikal Sabah FC memandangkan tempoh liga berehat ketika ini hanya akan disambung pada 15 September depan,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, beliau telahpun mencadangkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan perlawanan persahabatan di luar sebelum perlawanan menentang Terengganu FC nanti.

“Perlawanan persahabatan ini penting  untuk kita mendapatkan momentum semula selepas panjang berehat serta mendapatkan match fitness bagi semua pemain yang terlibat.

“Ketika ini beberapa pemain terpaksa berehat lebih lama termasuk Gabriel Peres dan Saddil Ramdani kerana masih berada dalam senarai kecederaaan,” katanya.

Beliau akan mengadakan perbincangan bersama pasukan perubatan dalam tempoh terdekat untuk memastikan pemain ini dapat beraksi semula secepat mungkin.

“Kita masih mempunyai empat minggu lagi untuk memastikan sama ada Saddil dan Gabriel kemungkinan besar boleh ataupun tidak terpulang kepada keadaan mereka nanti,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sentiasa cakna terhadap pembangunan belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular