HomeUtamaKKM tubuh pasukan petugas khas bebas, siasat kematian Pakar Perubatan Patologi

KKM tubuh pasukan petugas khas bebas, siasat kematian Pakar Perubatan Patologi

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat kes berhubung kematian Pakar Perubatan Patologi di Lahad Datu baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan itu akan berkuat kuasa 10 Oktober ini.

Katanya, pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dollah yang berpengalaman menyandang pelbagai jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

“Selain itu, pasukan petugas khas itu juga dianggotai oleh lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam seperti bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.

“Antatanya, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir; mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dato’ Dr. Azman Abu Bakar dan pesara perkhidmatan awam Dato’ Mohamad Fazin Mahmud.

“Turut menganggotai adalah Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Datuk Prof. Ulung Dr. Looi Lai Meng dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr. Chan Lai Fong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas itu berperanan untuk melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian Pakar Patologi Kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

Katanya, pasukan itu juga berperanan  mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital berkenaan secara khusus.

“Mereka juga akan mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.

“Petugas ini juga akan menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian Pakar Perubatan Patologi Kimia di Lahad Datu serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan,” katanya 

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

Katanya,  KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia Madani. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan Petronas & Jabatan Perhutanan Sabah bekerjasama pulihkan Hutan Simpan Kungkular

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular