HomeUtamaDua faktor punca kelewatan projek Pan Borneo Jajaran Sepanggar-Bulatan Berungis lewat disiapkan

Dua faktor punca kelewatan projek Pan Borneo Jajaran Sepanggar-Bulatan Berungis lewat disiapkan

Read Time:1 Minute, 59 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti menjadi antara punca utama kepada kelewatan untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya bagi 12  pakej kerja (WP) Fasa 1A yang belum lagi siap setakat ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, punca yang tidak dapat dielak itu juga masih boleh dipercepatkan menerusi pendekatan tertentu yang dilaksanakan.

Katanya, pihaknya berharap agar tiada lagi permohonan tambahan masa (EOT) untuk projek berkenaan selepas sudah diberi EOT yang banyak dan sudah lama dilaksanakan, namun baru empat daripada 16 pakej kerja yang siap.

“Hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri pembahagian kerja yang dibuat untuk membina Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan ini dan saya tadi berpesan agar kita membina dengan pantas.

“Harapan saya tidak ada lagi ‘extension of time’ (EOT) yang terlalu banyak kepada syarikat kontraktor kecualilah jika ia tidak dapat dielakkan seperti pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

“Namun, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti juga boleh dicepatkan. Sebagai contoh, pengambilan tanah ada tempoh dan bahagian tertentu yang mana dari tempoh setahun boleh diawalkan menjadi setengah tahun dan kalau dua tahun boleh diawalkan menjadi lapan bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bagi Pakej Kerja Lapan (WP08) di Telipok, di sini hari ini.

Ahmad berkata, kejayaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang kini sudah 99 peratus siap perlu dijadikan panduan agar projek lebuhraya itu yang dimulakan pada 2016 di Sabah juga boleh dipercepatkan.

Katanya, pada ketika ini projek Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru mencapai purata 79 peratus siap, termasuk empat pakej kerja yang sudah siap sepenuhnya dengan jangkaan penyiapan baharu pada akhir tahun depan dan awal 2026.

“Saya berharap agar Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau supaya semua pakej kerja 1A yang sekarang ini siap 79 peratus secara purata akan dipercepatkan.

“Pencapaian 79 peratus itu disebabkan empat pakej kerja sudah siap tetapi kadang-kadang tidak menggambarkan pencapaian yang sebenar kerana ada pakej kerja yang lambat,” katanya.

Pakej Kerja Lapan (WP08) itu membabitkan kerja menaik taraf laluan sedia ada sepanjang 11.7 kilometer bermula dari Tebobon, Sepanggar hingga ke Bulatan Berungis, Tuaran, membabitkan kos RM513.6 juta.

Projek berkenaan bermula pada 3 Disember 2019 dan sepatutnya siap pada 3 September 2022, namun berlaku kelewatan yang membabitkan tiga tambahan masa (EOT) dengan yang terbaharu dijadual siap pada 10 Disember 2025. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji iktiraf peranan wanita dalam pembangunan negeri Sabah – Azizah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular