Kota Kinabalu : Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, Crisnanalina Jumis, 20, yang sebelum ini dilaporkan menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mula mendaftar esok.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud selepas menerima taklimat daripada pihak UMS.
“Saya telah menerima taklimat daripada pihak UMS yang adik Crisnanalina akan dibawa dari kampung dan berdaftar di UMS pada Jumaat ini. Kita cuba sedaya upaya untuk permudahkan urusan pendaftaran pelajar yang memerlukan.
“Pihak kementerian melalui Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS juga akan padankan bantuan yang sesuai dan memastikan kos pengajian dan kebajikan pelajar terjaga.
“Bantuan ini bukan hanya untuk kes adik Crisnanalina sahaja, bahkan tersedia buat semua siswa di IPT. Pelbagai bantuan baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri boleh didapati melalui HEP Universiti,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mustapha berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada media dan rakyat Malaysia yang sangat prihatin dengan peluang pendidikan tinggi untuk anak-anak Sabah.
Katanya, kisah Crisnanalina dari Paitan itu yang mengalami kesukaran untuk menyambung pengajian ke UMS adalah realiti sebenar buat anak-anak kita di pedalaman.
“Selain itu, pihak Yayasan Perkasa Siswa (YPS-KPT) akan memberi bantuan awal pengajian bernilai RM1,000 yang bakal disalurkan secara terus ke akaun beliau bagi persiapan awal memulakan pengajian.
“Sekali lagi saya ucapakan berbanyak terima kasih atas keprihatinan semua. Semangat prihatin sebegini harus diteruskan dalam kalangan rakyat sesuai elemen Ihsan dalam gagasan Malaysia Madani.
“Saya doakan adik Crisnanalina selamat maju jaya di menara gading! Kami di KPT sedia membantu,” katanya. – SABAH MEDIA