Kota Kinabalu : Sebanyak 1,191 pain darah berjaya dikumpul menerusi Kempen Derma Darah Centre Point Sabah (CPS) yang diadakan di pusat membeli belah CPS di sini baru-baru ini.
CPS dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-34 pusat membeli-belah dalam memperkukuhkan semangat memberi di kalangan komuniti Sabah selain dedikasi mereka yang menyumbang kepada inisiatif menyelamatkan nyawa.
Acara yang berlangsung diruang legar CPS itu berjaya menarik penderma dari pelbagai latar belakang, bersatu atas komitmen untuk menyelamatkan nyawa dan memenuhi keperluan kritikal bekalan darah di Sabah.
“Kempen ini direalisasikan menerusi kerjasama erat pihak menjadikan Kempen ini yang terbesar di Sabah setakat ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Kempen Derma Darah CPS 2024 dan Pengurus Pengurusan Harta di CPS Maria Lan berkata, kempen tahun ini bukan sahaja membuktikan kekuatan kerjasama, tetapi juga sebahagian daripada komitmen CPS terhadap prinsip Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
“Kami amat bersyukur kepada semua yang menyertai kempen bermakna ini serta kepada rakan penganjur dan penaja atas sokongan yang tidak ternilai.
“Bersama-sama, kita telah membawa perubahan besar dalam menyelamatkan nyawa, dan kami berharap dapat meneruskan inisiatif penting ini di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, kejayaan kempen derma darah itu menyerlahkan dedikasi CPS dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak besar, selaras dengan matlamat ESG untuk mencipta impak sosial positif. – SABAH MEDIA