Penampang: Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (PBBNS) digesa untuk menjalin kerjasama dan kolaborasi dengan pihak berkaitan untuk mengembangkan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, pihaknya yakin atlet bina badan di Sabah ini akan terus mengorak langkah lebih jauh.
Katanya, ia sekaligus melakar pelbagai kejayaan termasuklah di peringkat antarabangsa.
“Walaupun sukan ini di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) namun sebagai salah seorang anggota Kabinet Negeri Sabah, saya secara peribadi menyokong sebarang usaha yang dilakukan dalam memajukan sukan bina badan khususnya di negeri Sabah.
“Sukan bina badan memerlukan program pembangunan secara sistematik dengan bermula dari peringkat usia muda untuk membolehkan negeri ini melahirkan atlet bina badan bertaraf dunia.
“Seperti sedia maklum, atlet bina badan ini juga memerlukan banyak pengorbanan, dedikasi, disiplin tinggi dari para atlet selain pengetahuan sains yang mendalam dari pelbagai aspek seperti pemakanan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mr Borneo 2024 di sini semalam.
James berkata, Persatuan Bina Badan Negeri Sabah perlu menekankan kepentingan penyediaan fasiliti yang lengkap serta tajaan untuk membolehkan atlet mendapat latihan dan keperluan yang mencukupi.
Katanya, persatuan juga memainkan peranan dengan baik dan proaktif dalam mengembangkan sukan itu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran selain serba kekurangan.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, sudah pastinya kerajaan menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan di negeri ini termasuklah persatuan sukan bina badan melalui Kementerian yang berkenaan,” katanya.
Lebih 100 atlet bina badan melibatkan wakil daripada Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Kalimantan, Indonesia telah mengambil bahagian dalam pertandingan Mr.Borneo pada tahun ini. – SABAH MEDIA