KOTA KINABALU: Ucapan Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengandungi sebarang unsur hasutan, kata Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
“Sebaliknya, ucapan tersebut bertujuan memberi semangat kepada jentera pemuda berkenaan misi dan perjuangan parti dengan menekankan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga.”
“Prinsip ini menyeru pemuda untuk mempertahankan apa yang menjadi hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut yang cuba merampasnya.
‘Persoalannya, mengapa Ketua UMNO Sabah begitu terkesan dengan ucapan ini? Adakah beliau secara tidak langsung mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk Kerajaan Negeri Sabah?,” kata Nizam dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut Nizam yang juga AJK Biro Penerangan GRS, sebagai ahli politik yang berpengalaman, tidak wajar bagi Datuk Bung Moktar Radin menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku.
“Apa kaitan perjalanan politik seseorang pemimpin dengan isu ini?
“Sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan GRS dan menang di DUN Lamag serta Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga.”
“Namun, nampaknya beliau masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi yang jelas dan perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Plan Sabah Maju Jaya,” jelasnya.
Tambah beliau, Bung juga harus sedar bahawa rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka.
“Serangan beliau terhadap prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga” hanya menonjolkan keresahan beliau dan UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan.
“Seperti yang dinyatakan Dr. Jeffrey, rakyat Sabah perlu bersatu dengan pemimpin untuk menolak kaedah pecah dan perintah yang telah merosakkan pembangunan, ekonomi, dan sosial negeri ini selama puluhan tahun di bawah pentadbiran UMNO,” tegasnya.
Jelas Nizam lagi, Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik. Bung, sebagai wakil Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan tersebut masih mundur dan daif.
“Ini adalah bukti jelas kegagalan model pentadbiran yang beliau wakili.
“Lebih mengejutkan, Bung memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik.
“Adakah Bung sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekaligus?,” soal Nizam.
Menurutnya, sebagai pemimpin, Bung seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio, atau gambar yang telah disunting dan tidak memiliki kredibiliti tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.
“Adalah lebih baik beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya.
“Oleh itu, nasihat saya kepada Datuk Bung Moktar adalah supaya tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar, dan patuh pada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan melulu,” tegas Nizam lagi.