HomeUtamaPelajar Jalani PdPR Selepas Cuti Pertengahan Tahun Ini– Radzi

Pelajar Jalani PdPR Selepas Cuti Pertengahan Tahun Ini– Radzi

Read Time:1 Minute, 39 Second

Bernama

Sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun diteruskan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Sesi pembelajaran itu bermula dari 13 Jun hingga 15 Julai bagi sekolah kumpulan A iaitu sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan 14 Jun hingga 16 Julai bagi sekolah kumpulan B iaitu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan juga perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh tersebut berdasarkan takwim masing-masing, katanya.

Radzi dalam sidang media secara maya hari ini, berkata perancangan mengenai sesi persekolahan selepas tempoh itu juga akan diumumkan seminggu sebelum tamat cuti pertengahan penggal.

Cuti pertengahan penggal bagi sekolah kumpulan A ialah dari 16 hingga 24 Julai manakala bagi kumpulan B dari 17 hingga 25 Julai.

Radzi berkata sesi PdPR dilaksanakan mengikut kesesuaian pelajar dan guru memandangkan para pendidik lebih mengetahui kebolehan dan keupayaan anak didik mereka

Menurutnya, KPM menerima keluhan mengenai manual PdPR 2.0 yang dikatakan mengandungi banyak subjek yang perlu diikuti pelajar, namun manual itu hanya sekadar panduan untuk membolehkan guru melihat keadaan yang paling optimum bagi membimbing pelajar mereka.

“Guru lebih tahu apa pendekatan sebaiknya, sebab itu tumpuan kita ialah mengenai kemenjadian murid secara keseluruhannya,” katanya.

Radzi berkata keberkesanan PdPR semakin meningkat jika dibandingkan dengan tahun lepas kerana ketika diperkenalkan ramai yang kekok.

Mengenai siaran DidikTV KPM, Radzi berkata rancangan itu akan terus disiarkan setiap hari selama 15 jam dengan kandungannya mengikut silibus mata pelajaran, manakala slot televisyen pendidikan juga diteruskan di TV Okey RTM selama dua jam dan di Astro Tutor TV selama empat jam setiap hari.

Ditanya sama ada KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan untuk kembali ke sekolah terlebih dahulu, Radzi berkata: “Sekiranya KPM buat keputusan untuk murid kembali ke sekolah, ya, pelajar kelas peperiksaan akan pergi dahulu (diutamakan), tentang bila akan dimaklumkan kemudian.”

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular