Oleh : ERDIE AB WAHID & NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini diseru untuk bersama dengan kepimpinan kerajaan bagi membangunkan negeri seterusnya membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort Datuk Isnin Aliasnih berkata, mereka (wakil rakyat pembangkang) juga diajak untuk membuang ego politik demi kepentingan rakyat.
“Kita tolak dan buang ego kita dalam politik yang penting rakyat, rakyat sekarang ini dalam kesusahan terutama sekali dalam menghadapi pandemik COVID-19. Ramai rakyat di kawasan terutama luar bandar, Sipitang, Sindumin, ini luar bandar kawasan saya Klias juga luar bandar.
“Rakyat memerlukan bantuan dan semestinya mereka minta kepada wakil rakyat. Jika sudah wakil rakyat dan tidak tidak bantu rakyat, buat apa wakil rakyat itu sedangkan wakil rakyat dipilih oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada sidang media pengumuman ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) disini hari ini.
Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, tindakan ADUN Sindumin keluar WARISAN menyokong kerajaan adalah tepat dan baik.
“Sungguhnya tindakan ini sangat tepat dan sangat baik kerana kita ada empat tahun lagi. Kini kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah setahun memerintah. Dalam empat tahun ini banyak lagi perlu dibuat.
“Sekiranya beliau (Dr Yusof) masih menjadi wakil rakyat pembangkang, saya rasa sukar untuk beliau membangunkan kawasannya apatah lagi untuk berhubung dengan pihak kerajaan sama ada di Pusat atau Negeri.
“Justeru, saya seru wakil rakyat lain (pembangkang) datang bersama kita untuk membangunkan kerajaan, negeri kita agar setanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Dalam pada itu, Isnin turut mendedahkan akan lebih ramai ADUN pembangkang di Sabah akan menyokong kerajaan.
Katanya, ramai ADUN pembangkang berhubung dengan parti kerajaan namun masih tidak berani mengambil keputusan keluar daripada parti mereka.