PRN SABAH
HomePolitikAwang Ahmad Sah sedia pertahan kerusi

Awang Ahmad Sah sedia pertahan kerusi

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari sedia untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Beliau berkata, keyakinan itu timbul selepas beberapa kali berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai perkara itu.

Katanya, meskipun ada pihak yang menyatakan mahu bertanding di kerusi berkenaan, namun beliau mengakui perkara itu tidak merunsingkannya kerana berkeyakinan dirinya akan dicalonkan semula.

“Pada saya selaku wakil rakyat DUN Petagas dan saya pun telah jumpa dengan Ketua Menteri, yang terakhir pada 7 dan 8 hari bulan ini sewaktu persidangan DUN, saya yakinlah bahawa saya yang akan dicalonkan untuk DUN Petagas.

“Banyak juga komen daripada rakyat dari kawasan bertanya kerana ada juga pihak-pihak yang mempunyai minat atau kepentingan di kawasan DUN Petagas ini yang menyatakan mereka juga akan bertanding.

“Ada menyatakan bertanding sebagai calon GRS, ada mengatakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) atau PKR, tapi pada saya ini adalah satu perkembangan yang sihat, baik dan kawasan DUN Petagas ini maknanya terbuka untuk sesiapa sahaja yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perlawanan Akhir Pertandingan Bola Sepak Amatur N22 Tanjung Aru 2025 di Sembulan, di sini, malam tadi.

Awang Ahmad Sah yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tujunya pada PRN17, sama ada kekal di Petagas atau berpindah ke Tanjung Aru.

Beliau turut menolak andaian pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin mengenai kemungkinan bertanding calon bebas jika tidak dicalonkan di kerusi DUN Petagas.

“Ada pula sekarang ini dikhabarkan di kampung-kampung, menyatakan bahawa saya akan bertanding calon bebas kalau saya bukan calon. 

“Bagi saya ini semua andaian-andaian yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu, saya tidak pernah berkata bahawa saya akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya.

Awang Ahmad Sah memenangi kerusi DUN Petagas atas tiket Parti Warisan pada PRN16, September 2020 sebelum mengumumkan keluar parti pada 27 Februari 2023 dan menyertai Gagasan Rakyat.

RELATED ARTICLES
PolitikPRNUtama

Pempengaruh Media Persoal Strategi UMNO Sabah Selepas Keputusan 40% hasil negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular