Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia kini menikmati peningkatan pendapatan yang lebih tinggi, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk berdepan cabaran kos sara hidup dengan lebih berkesan.
Dua minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Survei Gaji & Upah Malaysia 2024, yang menunjukkan peningkatan ketara dalam gaji dan upah pekerja di seluruh negara.
Menurut laporan tersebut, penengah gaji dan upah meningkat 7.3 peratus atau RM191 kepada RM2,793 pada 2024 berbanding RM2,602 pada 2023, manakala purata gaji dan upah naik 6.1 peratus atau RM211 kepada RM3,652 pada 2024 berbanding RM3,441 pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan Ekonomi Kukuh dan Kadar Inflasi Rendah
Peningkatan besar ini didorong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada 2024, berbanding 3.6 peratus pada 2023. Negara turut mencatat kadar pengangguran hanya 3.1 peratus (544,000 penganggur) pada Disember 2024 — kadar terendah dalam hampir satu dekad.
Pada masa sama, kadar inflasi negara menurun kepada 1.8 peratus pada 2024, berbanding 2.5 peratus tahun sebelumnya. Dengan kadar kenaikan gaji melebihi inflasi, pekerja kini memiliki kuasa membeli yang lebih tinggi dan lebih banyak wang dalam poket untuk berbelanja.
DOSM melaporkan bahawa dalam tempoh sembilan tahun (2016–2024), penengah gaji meningkat 39.7 peratus (RM793) manakala purata gaji naik 37.4 peratus (RM995).
Peningkatan ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar Gaji Minimum Negara memberi kesan positif kepada peningkatan pendapatan pekerja. Sepanjang tempoh tersebut, kadar gaji minimum disemak tiga kali, meningkat 50 peratus daripada RM1,000 (2016) kepada RM1,500 (2022).
Berdasarkan laporan itu, sektor Perlombongan dan Pengkuarian merekodkan penengah gaji tertinggi RM4,450 (naik 3.6 peratus daripada 2023), manakala sektor Pertanian kekal terendah walaupun meningkat 6.6 peratus kepada RM1,698.
Menariknya, penengah gaji sektor pertanian ini masih lebih rendah daripada kadar gaji minimum baharu RM1,700, yang mula dikuatkuasakan pada Februari 2025. Sektor ini telah mencatat gaji terendah selama 14 tahun berturut-turut, sekali gus menunjukkan cabaran untuk menarik tenaga muda tempatan ke bidang pertanian yang sering dilabel sebagai pekerjaan 3D — dirty, difficult, dangerous.
Dari segi pencapaian pendidikan, pekerja berpendidikan tertiari merekodkan penengah gaji tertinggi RM4,131, meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sebaliknya, gaji bagi pekerja berpendidikan menengah (RM2,046), rendah (RM1,644) dan tanpa pendidikan rasmi (RM1,559) kekal jauh lebih rendah.
Laporan turut menunjukkan jurang pendapatan berdasarkan tahap kemahiran yang ketara — pekerja berkemahiran tinggi (RM4,679) memperoleh lebih dua kali ganda daripada pekerja separuh mahir (RM2,050) dan pekerja berkemahiran rendah (RM1,654).
Cadangan di Bawah RMK13
Sehubungan itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13: 2026–2030), kerajaan disaran memperkukuh program latihan kemahiran melalui peningkatan dana dan insentif yang lebih inklusif. Langkah ini perlu disertai dengan akses mudah kepada program latihan — termasuk lokasi strategik dan jadual fleksibel — bagi membantu pekerja berpendapatan rendah meningkatkan kemahiran mereka.
Bagi perbandingan antara negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat penengah gaji tertinggi (RM4,598), diikuti Kuala Lumpur (RM3,687), Selangor (RM3,350) dan Pulau Pinang (RM2,934). Kelantan mencatat terendah dengan RM1,914.
Sabah pula merekodkan peningkatan penengah gaji dan upah yang melebihi kadar nasional, dengan pertumbuhan 8.6 peratus (RM177) daripada RM2,059 (2023) kepada RM2,236 (2024).
Walaupun parasnya masih rendah, peningkatan besar ini dianggap sebagai kejayaan penting dalam pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri itu.



