HomeUtamaPengundi fail petisyen cabar keputusan kerusi Sindumin

Pengundi fail petisyen cabar keputusan kerusi Sindumin

Read Time:2 Minute, 28 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pengundi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin telah memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17, yang dimenangi calon Warisan, Yusri Pungut.

Petisyen pilihan raya itu difailkan oleh Wendey Agong Baruh, 34, menerusi peguam Ag Amli Noraufe Ag Nohin dan Norlaily Anuar di mahkamah di sini, hari ini (26 Disember), pada jam 2.30 petang.

Pempetisyen menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sindumin (N.35) di Sabah, Abdul Karim A.M. Zahari; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); serta Yusri Pungut sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Dalam petisyen itu, pempetisyen mendakwa bahawa pada 23 Disember 2025, beliau menerima satu rakaman video daripada seorang wanita yang memaparkan seorang pegawai SPR memakai vest berlabel “PETUGAS” didakwa merenyukkan sekeping kertas undi semasa proses pengiraan undi.

Rakaman video berkenaan didakwa menunjukkan pegawai tersebut menyembunyikan kertas undi yang dironyokkan di antara peti undi dan sebuah kotak putih berlabel “UNDI BELUM DIKIRA”. Pempetisyen mendakwa kertas berkenaan dikenal pasti sebagai kertas undi berdasarkan warna jingganya (orange).

Di dalam petisyen itu juga, pempetisyen menyatakan bahawa wanita berkenaan memaklumkan kepadanya bahawa video itu diperoleh daripada seorang lelaki, yang mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 29 November 2025, selepas jam 6 petang, di Saluran 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Melalia, semasa proses pengiraan undi.

Pempetisyen kemudiannya mengenal pasti individu dalam video itu sebagai seorang lelaki yang dipercayai merupakan pegawai SPR yang ditugaskan di bawah Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sindumin (N.35). Walaupun peranan sebenar individu berkenaan semasa proses pengiraan undi tidak dapat dipastikan, pempetisyen mendakwa pakaian yang dipakai menunjukkan beliau adalah pegawai SPR.

Menurut dokumen petisyen pilihan raya yang difailkan, satu laporan polis telah dibuat oleh wanita berkenaan pada 23 Disember 2025 bagi membolehkan kejadian itu disiasat.

Pempetisyen mendakwa perbuatan meronyokkan kertas undi itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan perbuatan merosakkan atau memusnahkan kertas undi secara penipuan.

Beliau turut berhujah bahawa kertas undi, sama ada sah atau ditolak, tidak boleh dironyokkan semasa proses pengiraan kerana ia boleh menjejaskan jumlah undi.

Pempetisyen mendakwa keputusan pilihan raya berkenaan telah terjejas dan pemilihan responden ketiga perlu diisytiharkan terbatal di bawah Seksyen 32(b) akta sama.

Sehubungan itu, pempetisyen memohon satu perisytiharan bahawa pilihan raya bagi DUN Sindumin yang diadakan pada 29 November adalah terbatal; satu perisytiharan bahawa Yusri Pungut tidak dipilih secara sah atau tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang; kos; serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada PRU DU Sabah ke-17, Yusri memenangi kerusi Sindumin menewaskan Datuk Yamani Hafez Musa daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 362 undi dalam pertandingan 10 penjuru.

Calon lain ialah Abdillah Jalaf @ Dila (Bebas) dengan 2,570 undi, Moktar Matussin (Star) 1,469 undi, Sani Miasin (KDM) 875 undi, Dayang Syafiqah (PN) 705 undi, Markus Buas (Parti Impian Sabah) 293 undi, Wilson Liou (Bebas) 54 undi, Kanafia Bujang (Parti Kebangsaan Sabah) 37 undi dan Ibrahim Tuah (Bebas) 30 undi.

RELATED ARTICLES
Utama

Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular