KOTA KINABALU: Sabah FC menampilkan seorang pemain import baharu dan akan membuat penampilan pertama pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Melaka FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Facebook Sabah petang semalam, pemain pertahanan kiri berdarah Siam-Sepanyol, Ernesto Amantegui Phumipha itu bakal memperkuat skuad Sabah dalam usaha memenangi perlawanan setelah berjaya mengikat Melaka 2-2 pada perlawanan pertama sebelum ini.
Ernesto,36, yang dilahirkan di Sepanyol, sebelum ini bermain di Liga Thailand dan pernah menjadi tonggak kelab bola sepak Nakhon Pathom United FC di negara itu.
Sebelum ini, pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus memaklumkan bahawa pasukan itu akan membawa masuk pemain import baharu menerusi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.
Langkah itu katanya bagi memperkuat Sang Badak dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super musim ini, selain saingan Piala Malaysia yang kini bermula.
Ernesto dijangka menggantikan tempat yang ditinggalkan bekas pemain pertahanan Sabah, Daniel Ting yang meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama, baru-baru ini.
Daniel yang berstatus pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menyertai Ratchaburi FC yang bermain dalam Liga Thailand.
Selain Daniel, seorang lagi pemain pinjaman JDT, Stuart John Wilkin turut meninggalkan Sabah dan kini kembali bergabung dengan skuad Harimau Selatan itu.



