HomeUtamaCubaan PATI Masuk Ke Sabah Dipatahkan

Cubaan PATI Masuk Ke Sabah Dipatahkan

Read Time:1 Minute, 56 Second

TAWAU : Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya mematahkan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau di Kampung Hidayat Batu 4 di sini semalam.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, cubaan masuk kumpulan itu berjaya dikesan hasil operasi rondaan yang dijalankan selepas mendapati sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil tinjauan dan pemerhatian pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) turut mendapati terdapat sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan tersebut juga didapati digunakan oleh ejen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia. Tim QRF bertindak mengekori rapat dan telah menahan kenderaan tersebut di Jalan Utama Jalan Apas Batu 3 pada jam 8.10 malam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Abdul Karim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandu warga tempatan berusia 30 tahun yang menjadi ejen bertindak sebagai penghantar bersama lima warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki berusia 57 tahun, dua wanita berusia 17 dan 47 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia 9 bulan dan 3 tahun ditemui bersama barang persendirian.

“Maklumat awal yang diperolehi dari tahanan memaklumkan bahawa mereka telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Kampung Hidayat.

“Mereka kemudiannya akan diambil oleh ejen menggunakan kenderaan menuju ke Bandar Tawau. ejen warganegara Malaysia tersebut yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,”katanya.

Katanya, semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk saringan COVID-19 sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, operasi itu akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak COVID-19.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada POWB ATB 2 dan Tim QRF yang terlibat di dalam penangkapan PATI tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan anggota agar sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan setiap masa.

“Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tim OCP Daratan ESSCOM dan IPD Tawau di atas sokongan pelaksanaan operasi ini. Kerjasama ini telah menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan.

“ATB 2 akan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan lain-lain ancaman demi kedaulatan di Pantai Timur Sabah,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular