HomeUtamaIPTA & IPTS Digesa Lahir Graduan Releven Pasaran Kerja Tempatan, Antarabangsa

IPTA & IPTS Digesa Lahir Graduan Releven Pasaran Kerja Tempatan, Antarabangsa

Read Time:3 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta digesa menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan disamping berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, graduan perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.

Katanya, bakal graduan juga harus bersedia dengan perubahan ini dan mengadaptasi situasi semasa dengan mempelbagaikan kemahiran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Ini penting supaya mereka kekal relevan untuk bersaing bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa, termasuklah kemahiran digital bersama literasi digital dan pemindahan kemahiran.

“Selain bakal graduan, sektor pendidikan dan pengajian tinggi juga tidak boleh lagi bergerak seperti biasa,sebaliknya perlu memastikan graduan mempunyai kebolehpasaran dan menyediakan program bersesuaian sebagai persediaan pasaran pekerjaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan melancarkan program MyCareer@MOHE Zon Borneo 2021 secara dalam talian di sini, hari ini.

Hajiji ketika berucap secara dalam talian

Hajiji yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan secara proaktif dan memastikan graduan mendapat penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.

Katanya, isu kebolehpasaran graduan sering dibincangkan dalam landskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah dan ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

“Keadaan pandemik COVID-19 telah memberi kesan khususnya dalam aspek ekonomi sekali gus membawa kepada kurangnya peluang pekerjaan.

“Berdasarkan Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 202,400 orang di seluruh negara, meningkat sebanyak 37,200 graduan berbanding tahun sebelumnya seramai 165,200 graduan,”katanya.

Katanya, pertambahan itu melibatkan kedua-dua pemegang Ijazah dan Diploma, yang sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun dan lebih.

Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, norma baharu akibat pandemik COVID-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 dijangka akan mengubah sebahagian besar landskap pasaran buruh di serata dunia, termasuklah Malaysia.

“Adaptasi kepada peralihan teknologi dijangka akan lebih cepat berlaku pasca COVID- 19. Mengikut laporan The World Economic Forum 2020, permintaan pekerjaan berintensifkan tenaga buruh dijangka menurun pada masa hadapan kerana peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang menjurus kepada penggunaanteknologi dan kemahiran baharu.

“Di Malaysia, pelbagai industri ingin memanfaatkan perkembangan pasaran digital, dan transformasi pendigitalan ini, telah mewujudkan permintaan tinggi bagi pekerja yang mempunyai kemahiran digital,”katanya.

Tambahnya, landskap pekerjaan masa depan tidak lagi terhad kepada sesuatu tempat tertentu kerana dunia sekarang bersifat tanpa sempadan dan ini memberi peluang mengatasi masalah fizikal, sosial dan geografi.

Sementara itu, Hajiji turut menggesa pemain industri di Sabah agar menjalin kerjasama dengan IPT Awam negeri ini, seperti UMS,Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Kota Kinabalu,khusus dalam kemahiran digital.

Katanya, bekerjasama ini penting bagi membantu Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

Menyentuh Program MyCareer @MOHE Zon Borneo 2021, Hajiji berkata, ia bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja graduan bagi IPT di seluruh negara khususnya di Sabah.

“Program yang julung kali diadakan di Sabah, diharapkan mampu menjadi platform kepada graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan mengikut bidang masing- masing.

“Saya berharap program ini mampu membantu memantapkan para graduan agar lebih bersedia  menghadapi cabaran di alam pekerjaan menerusi ceramah kerjaya dan aktiviti perkongsian ilmu,”katanya.

Hajiji berharap Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Program MyCareer @ MOHE Zon Borneo 2021 melibatkan sesi temuduga secara dalam talian selama empat hari sehingga 4 Disember ini.

Sebanyak 25 majikan dengan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Datuk Suhaimi didasari emosi, bukan fakta sebenar – Nizam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular