KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan amaun pemberian khas kepada negeri ini dalam Bajet 2027 Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, ianya tertakluk kepada kedudukan ekonomi negara pada ketika itu.
Beliau berkata, langkah berkenaan juga dilihat sebagai penyelesaian sementara bagi menunggu rundingan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dimuktamadkan.
“Jika keadaan ekonomi mengizinkan, saya fikir tidak ada masalah untuk menambah Pemberian Khas kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Jemaah Haji Parlimen Sepanggar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, dekat sini pada Ahad.
Mustapha diminta mengulas mengenai perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini yang menyaksikan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan isu tuntutan hak 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, serta menuntut agar isu itu diselesaikan secepat mungkin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ADUN Sabah yang telah membahaskan perkara itu dalam sidang DUN.
“Kita mendengar dan meneliti perkara ini dan saya sendiri telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri untuk memberi maklumat kepada beliau bahawa isu ini hangat dibincangkan di sidang DUN.
“Perkara ini juga kita bincangkan dalam mesyuarat kabinet (Persekutuan) minggu lepas, dan kabinet akan buat keputusan (berhubung perkara ini),” katanya.



