Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merogol seorang remaja bawah umur.
Tertuduh, Lee Jun, 23, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Monica Linsua.
Mengikut kertas pertuduhan, Lee didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Februari lalu antara jam 4.30 pagi hingga 6 pagi di dalam bilik sebuah homestay, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi serta menyerahkan pasport antarabangsa sekiranya ada sehingga kes selesai.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence mewakili tertuduh.



