NABAWAN: Sahira Samson berjaya dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Nabawan sempena Pesta Kaamatan Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan 2026 yang berlangsung meriah di sini.
Kemenangan itu melayakkan Sahira membawa pulang wang tunai RM8,000, piala dan jambangan bunga, selain diberi tanggungjawab mewakili daerah Nabawan ke pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang pada 31 Mei ini.
Turut mengiringi Sahira ke pertandingan peringkat negeri ialah Kerishine Danil yang muncul sebagai Naib Johan dan akan mewakili Daerah Kecil Pagalungan.
Kerishine menerima hadiah wang tunai RM6,000, manakala Gracesya Norahemelyn yang menduduki tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM4,000.
Sementara itu, Dyeneley Daud dinobatkan sebagai Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK), diikuti Mascherlyan Masirin sebagai Naib Johan dan Ardy Ardiano Martin di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan RTK telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, manakala hadiah bagi pertandingan Unduk Ngadau disampaikan oleh isteri beliau, Datin Asiah Doreen Azlan.
Pertandingan tahunan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat dan keyakinan generasi muda, malah berperanan penting dalam memelihara serta memartabatkan warisan budaya masyarakat tempatan.



