HomeIsu tempatanUMS anjur kursus sembelihan halal perdana, tingkat kefahaman syariah

UMS anjur kursus sembelihan halal perdana, tingkat kefahaman syariah

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) telah menjayakan penganjuran Kursus Sembelihan Halal Perdana 2026 baru-baru ini bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kaedah penyembelihan mengikut syariah Islam.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kursus itu penting bagi memberi pengetahuan tepat dan menyeluruh berkaitan kaedah penyembelihan halal yang mematuhi tuntutan syariah, selain menitikberatkan aspek kesihatan serta kebajikan haiwan.

“Konsep sembelihan dalam Islam perlu dihuraikan sebaik mungkin agar ibadat ini tidak dilihat sebagai satu perbuatan menyeksa haiwan secara kejam berdasarkan pandangan masyarakat bukan Islam yang melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.

“Penyembelihan halal perlu dilakukan oleh individu beragama Islam yang memahami rukun dan syarat sembelihan, selain menggunakan peralatan tajam bagi meminimumkan kesakitan haiwan yang disembelih. 

“Kehalusan teknik-teknik penyembelihan ini juga melatih dan mendidik jiwa setiap muslim supaya bersifat ihsan, berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena penganjuran kursus tersebut di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat. 

Dalam pada itu, Kasim berkata, UMS merupakan satu-satunya Penyedia Latihan Halal berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Sabah dan aktif dalam membantu industri halal di Sabah.

“Penubuhan PPPH pada 2023 membuktikan dedikasi UMS dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadi pusat rujukan halal serantau selaras dengan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

“Diharap dengan adanya PPPH ini UMS lebih dikenali dan diyakini dalam menjalankan aktiviti berkaitan halal kepada pihak industri dan orang awam,” ujar beliau. 

Kursus itu disertai lebih 60 peserta dan mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi MUIS Halal Hub dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

Turut menjayakan program tersebut pihak industri QL Agroventures Sdn. Bhd. yang menaja 70 ekor ayam untuk sesi praktikal sembelihan peserta, serta pihak Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

20 pelajar UMS terima China Ambassador Scholarship 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular