Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ahli farmasi di Sabah kini memainkan peranan lebih besar dalam penjagaan pesakit dan kesihatan awam, selari perkembangan profesion farmasi di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, daripada kurang 20 orang ahli farmasi di Sabah suatu ketika dahulu, profesion itu kini berkembang pesat kepada sekitar 800 ahli farmasi di seluruh negeri.
Beliau berkata, hari ini ahli farmasi memainkan pelbagai peranan penting dalam sektor kesihatan awam dan swasta, termasuk membantu meningkatkan mutu penjagaan pesakit serta kesedaran kesihatan masyarakat.
“Sebagai seorang doktor secara profesional, saya berpeluang menyaksikan sendiri perkembangan dan evolusi profesion farmasi sejak dahulu hingga kini. Pada peringkat awal ketika jumlah ahli farmasi masih sangat kecil, profesion kesihatan saling bekerjasama dengan begitu rapat.
“Ahli farmasi memainkan peranan penting dalam menyokong perkhidmatan hospital dan kesihatan. Mereka melatih jururawat, menyediakan perkhidmatan penyediaan ubat secara extemporaneous, menghasilkan krim dan formulasi di hospital, malah turut menyediakan larutan hibitane pada ketika itu.
“Dedikasi serta sumbangan mereka amat bernilai dan tidak ternilai,” katanya semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Farmaseutikal Sabah di sini, semalam.
Menurut Dr Joachim, dalam sektor awam, ahli farmasi telah menerajui banyak inisiatif bermakna termasuk Kempen TOBATS atau Kempen Tolak Ubat Tidak Sah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan ubat tulen berasaskan bukti.
Katanya, bagi mengurangkan kesesakan hospital serta meningkatkan kemudahan kepada pesakit, pelbagai perkhidmatan turut diperkenalkan seperti pengambilan ubat secara pandu lalu, penghantaran ubat melalui pos dan penggunaan loker ubat.
Beliau berkata, hospital kerajaan kini juga mengendalikan Klinik Kepatuhan Terapi Ubat atau Medication Therapy Adherence Clinics (MTAC) meliputi bidang seperti diabetes, antikoagulan, neurologi, geriatrik dan banyak lagi bagi memastikan pesakit mencapai tahap pematuhan rawatan dan hasil kesihatan yang lebih baik.
“Ahli farmasi turut aktif menjalankan semakan ubat di rumah khususnya bagi pesakit geriatrik dan psikiatri.
“Selain itu, ramai ahli farmasi kini mengikuti latihan lanjutan dalam farmasi klinikal dan bidang pengkhususan, membuktikan bahawa profesion ini telah berkembang menjadi bidang yang sangat pelbagai dan khusus,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Joachim berkata ahli farmasi komuniti kekal sebagai antara profesional kesihatan yang paling mudah diakses oleh masyarakat, terutama semasa pandemik Covid-19.
“Bagi masalah kesihatan ringan, orang ramai boleh mendapatkan nasihat terus daripada ahli farmasi.
“Sekiranya memerlukan rawatan lanjut, ahli farmasi akan bekerjasama rapat dengan doktor bagi memastikan penjagaan serta susulan pesakit dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, dalam era digital hari ini ramai masyarakat mendapatkan maklumat perubatan melalui internet dan media sosial, namun bukan semua maklumat yang diperoleh adalah tepat khususnya berkaitan ubat ubatan.
“Oleh itu, ahli farmasi terus memainkan peranan penting sebagai profesional kesihatan yang dipercayai dalam memberikan panduan yang betul serta nasihat yang sahih mengenai penggunaan ubat dan amalan hidup sihat,” katanya.
Dr Joachim turut berharap Persatuan Farmaseutikal Sabah akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Sabah serta memperkasa ahli farmasi melalui pendidikan berterusan dan pembangunan profesional bagi generasi akan datang.
“Ahli farmasi sentiasa meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan tertinggi, dan saya yakin semangat khidmat serta dedikasi ini akan terus kekal pada masa hadapan,” katanya.



