HomeUtamaPenstrukturan semula Gagasan Rakyat buka ruang kepimpinan generasi baharu - Masidi

Penstrukturan semula Gagasan Rakyat buka ruang kepimpinan generasi baharu – Masidi

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merupakan langkah strategik untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti serta membuka ruang yang lebih luas kepada generasi baharu tampil sebagai pelapis kepimpinan.

Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pindaan perlembagaan yang dicadangkan bukan sekadar bertujuan memperkukuhkan struktur organisasi parti, malah menjadi platform penting untuk melahirkan barisan pemimpin yang mampu membawa parti ke tahap lebih tinggi.

“Kita mahu menyediakan masa depan untuk generasi seterusnya. Sebagai pemimpin, antara tanggungjawab paling penting ialah menyediakan pelapis kepimpinan kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, struktur baharu parti memberi penekanan kepada konsep pasukan kepimpinan (leadership team) yang menghimpunkan kekuatan, bakat dan pengalaman semua pemimpin dalam satu organisasi yang lebih mantap dan tersusun.

Menurut beliau, setiap pemimpin perlu berjiwa besar dan bersedia memberi peluang kepada individu yang lebih berkemampuan demi memastikan parti terus berkembang.

“Kalau ego menguasai kita, lambat-laun parti akan jatuh. Kita perlu berjiwa besar dan memberi ruang kepada mereka yang mampu memimpin bersama,” katanya.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat kini berada dalam fasa yang lebih matang dan memerlukan barisan pemimpin berkualiti yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat negeri, malah di peringkat kebangsaan.

“Kita mahu pemimpin kita mampu bersaing di peringkat negeri dan juga kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama serta pengurusan kerajaan negeri yang baik merupakan faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.

Katanya, yang lebih penting ialah memastikan pembangunan negeri terus dipacu dan setiap rakyat dapat menikmati manfaat daripada hasil pembangunan yang dilaksanakan.

“Apa yang lebih penting adalah membangunkan negeri serta memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.

“Justeru, usaha memperkukuh dan meningkatkan kualiti kepimpinan parti perlu diteruskan agar pentadbiran negeri dapat diurus dengan lebih berkesan dan teratur,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS sentiasa memberi tumpuan kepada kerja dan pencapaian sebenar, bukannya sekadar retorik politik.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parti supaya menyokong pindaan perlembagaan dan penstrukturan semula organisasi parti bagi memastikan Gagasan Rakyat terus relevan, kukuh dan mampu melahirkan kepimpinan berkualiti demi masa depan Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

160 belia sertai program pertanian moden di Melalap

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular