PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil maklum bahawa satu kandungan di media sosial Facebook dan Twitter telah tular berkaitan rakaman video sekumpulan pelajar sedang membuli rakannya.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihak MARA memandang serius berkaitan isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan penularan kandungan video membabitkan pelajar sebuah sekolah berasrama hari ini.
Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar.
Pihak MARA juga tegas Mahdzir, tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.
Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa.