Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bahawa kes melibatkan remaja itu tidak akan disembunyikan.
Bapa saudara Zara, Abu Bakar Lamat, menyatakan perkara itu kepada Koroner Amir Hassan semasa memberi keterangan sebagai saksi ke-72 dalam inkues kematian Zara, hari ini.
Menurutnya, Fadhlina berkata demikian dalam satu pertemuan bersama keluarga.
Saksi berkata ketika itu, jenazah Zara dibawa ke bahagian forensik untuk urusan pengurusan jenazah dan mereka sekeluarga menunggu di luar untuk urusan permit penuntutan jenazah.
“Semasa menunggu, kami dibawa ke sebuah bilik khas untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina.
“Dalam pertemuan tersebut, beliau (Menteri Pendidikan) memberikan kata-kata semangat dan sumbangan peribadi kepada keluarga.
“Dalam pertemuan tersebut juga, isteri saya memaklumkan mengenai dakwaan kejadian buli di sekolah Zara dan meminta agar siasatan dijalankan secara telus.
“Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa kes ini tidak akan disembunyikan namun pihak sekolah diarahkan untuk tidak memberikan sebarang maklumat termasuk kepada waris kerana siasatan polis masih berjalan,” katanya dalam pernyataan bertulis yang dibacakan di Mahkamah Koroner di sini.
Selepas itu, saksi berkata mereka kembali menunggu jenazah dan beliau telah menghubungi pegawai penyiasat, menggunakan telefon ibu Zara berhubung permit penuntutan jenazah kerana hanya pegawai penyiasat mempunyai kuasa untuk mengeluarkannya seperti dimaklumkan oleh pihak hospital.
“Pada ketika itu, pegawai penyiasat tersebut tidak berada di hospital dan memaklumkan bahawa beliau berada di luar kawasan. Permit penuntutan jenazah hanya diperoleh selepas waktu Maghrib sebelum jenazah dapat dituntut.
“Seterusnya, isteri saya bersama ibu Zara dan ahli keluarga lain menguruskan mandian jenazah sebelum kami bertolak ke Tanah Perkuburan Tanjung Ubun, Masapoi. Jenazah arwah selamat dikebumikan sekitar jam 11 malam,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh itu, Noraidah berada dalam keadaan keadaan trauma, sangat sedih dan tidak dapat menerima kehilangan Zara yang berlaku secara mengejut.
“Semasa di hospital, saya melihat Noraidah berada dalam keadaan sangat sedih, menangis dan sentiasa berdoa agar Zara dapat bangun serta bercakap semula seperti biasa.
“Pada pemerhatian saya, Noraidah tidak dapat menerima keadaan Zara ketika itu dan sangat terkesan sebagai seorang ibu,” katanya.


