HomeUtamaKerajaan negeri tidak berkompromi terhadap aktiviti bom ikan di Sabah

Kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap aktiviti bom ikan di Sabah

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan yang mengancam kelestarian sumber semula jadi di kawasan perlindungan marin di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.

Beliau berkata, tindakan itu adalah demi memastikan khazanah biodiversiti negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Saya memandang serius serta melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap insiden pengeboman ikan yang berlaku di kawasan Tapak Restorasi Terumbu Karang di Pulau Selakan, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna. 

“Maklumat awal mengenai kejadian ini telah diterima daripada Ranger Kehormat Taman pada 23 Mei 2026 sekitar jam 11.40 pagi. Walau bagaimanapun, suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penguatkuasaan TMTS di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Jafry berkata, hasil pemantauan awal oleh Community Marine Conservation Group (CMCG) mendapati terdapat dua kawah dipercayai akibat letupan bom ikan di kawasan restorasi terumbu karang berkenaan.

Beliau berkata, pemantauan lanjut pada 25 Mei oleh Unit Penyelidikan Marin TMTS bersama Reef Check Malaysia dan CMCG mengesahkan kejadian itu menyebabkan kemusnahan serius terhadap ekosistem marin di kawasan tersebut.

“Penilaian lapangan mendapati sekurang-kurangnya 10 struktur reef star terjejas melibatkan keluasan kerosakan sekitar 15 meter persegi bersamaan 2.91 peratus daripada keseluruhan kawasan restorasi.

“Antara spesies karang yang rosak ialah Acropora, Pocillopora, Fimbryphyllia, Montipora, Porites dan Plerogyra yang dipulihara sejak dua tahun lalu menerusi usaha restorasi pelbagai pihak,” katanya.

Menurutnya lagi, anggaran awal menunjukkan kos penyelenggaraan dan pemulihan kawasan terjejas mencecah sekitar RM96,000 manakala kerosakan terhadap struktur reef star dianggarkan bernilai RM3,000.

Tambahnya, insiden berkenaan bukan sahaja memusnahkan hasil usaha pemuliharaan marin yang dibangunkan sekian lama malah turut mengancam kelestarian sumber perikanan, biodiversiti marin dan keselamatan pelancong.

Selain itu katanya, kejadian tersebut juga berpotensi menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi bertaraf antarabangsa.

“Saya difahamkan, keluasan kawasan perairan TMTS yang mempunyai sempadan laut terbuka selain kekangan aset penguatkuasaan termasuk bot dan ketiadaan pos kawalan tetap di Pulau Selakan menjadi antara cabaran utama memperkukuh tindakan balas pantas di lapangan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan Taman-Taman Sabah diminta meneliti langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan termasuk penempatan aset dan logistik, penggunaan teknologi dron serta memperkukuh kehadiran fizikal anggota penguat kuasa di kawasan berisiko tinggi.

Beliau turut turut menyeru komuniti maritim, nelayan tempatan dan semua pihak berkepentingan agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memelihara khazanah marin negeri dengan menyalurkan maklumat segera berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau pencerobohan di kawasan taman marin.

RELATED ARTICLES
Utama

11 PATI dipenjara atas pelbagai kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular