KENINGAU: Sebuah jambatan kekal akan dibina di Kilometer (KM) 117.1, Jalan Kota Kinabalu- Keningau dekat Kampung Liau disini berikutan laluan runtuh akibat arus deras ketika hujan lebat mengakibatkan jalan raya terputus awal November lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pembinaan jambatan kekal itu dijangka akan dimulakan bermula dalam masa tiga bulan selepas kos dan rekabentuk jambatan dimuktamadkan.
Katanya, ia berdasarkan kaedah yang paling cepat dengan kos yang munasabah bagi keselesaan pengguna.
“Kementerian Kerja Raya di peringkat Persekutuan dengan melalui kerjasama JKR Sabah telah melaksanakan kajian serta penilaian teknikal dan mempertimbangkan kaedah penyelesaian terbaik yang perlu dilaksanakan untuk jangka masa panjang.
“Sehubungan itu, Kerajaan telah memutuskan untuk membina jambatan kekal merentasi sungai tersebut yang dijangka bermula dalam masa tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas meninjau laluan berkenaan disini petang semalam.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ir Ali Ahmad Hamid.
Arthur berkata, pembinaan jambatan kekal itu dianggarkan mengambil masa selama 18 bulan bagi membolehkan aliran trafik menjadi lebih lancar.
“Selain itu, jambatan kekal ini juga akan membolehkan kenderaan yang mempunyai had berat muatan tinggi sehingga 60 tan juga akan dapat melalui jambatan ini,”katanya.
Sementara itu, Arthur berkata, ketika ini sebuah jambatan Bailey dibina sementara bagi menghubungkan jalan yang putus seterusnya membolehkan kenderaan kecuali kenderaan berat melebihi lapan tan melalui laluan berkenaan.
Jambatan Bailey itu disiapkan JKR Sabah dan Syarikat Konsensi Lintasan Resources Sdn Bhd bagi menghubungkan semula laluan berstatus Jalan Persekutuan itu.
Pembinaan Jambatan Bailey ini berfungsi untuk jangka masa pendek dan sederhana agar kapasiti aliran air dapat mengalir dengan lebih baik dan mengurangkan risiko runtuhan berulang.