KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah merekodkan tahap pematuhan memberangsangkan dalam pelaksanaan Ops Pamer 2026 apabila sebanyak 94 peratus premis yang diperiksa didapati mematuhi keperluan pempameran Perakuan Bomba.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, sebanyak 31 premis daripada 33 premis pasar raya dan pusat beli-belah yang diperiksa didapati mematuhi sepenuhnya Peraturan 6(2), Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001.
Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pematuhan pemilik premis terhadap perundangan berkaitan keselamatan kebakaran, selain memastikan Perakuan Bomba dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat oleh orang awam.
“Ops Pamer 2026 bukanlah operasi untuk mencari kesalahan semata-mata, sebaliknya merupakan satu usaha meningkatkan kesedaran dan membudayakan pematuhan terhadap peraturan keselamatan kebakaran dalam kalangan pemilik serta pengurusan premis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pempameran Perakuan Bomba memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat kepada pengunjung bahawa premis berkenaan telah memenuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh JBPM.
Katanya, sijil berkenaan hendaklah dipamerkan pada setiap masa di tempat yang mudah dilihat sebagaimana ditetapkan di bawah peraturan.
“Perakuan Bomba bukan sekadar dokumen, tetapi merupakan bukti bahawa premis ditetapkan telah memenuhi aspek keselamatan kebakaran yang diperlukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata dua premis atau enam peratus daripada keseluruhan premis diperiksa didapati gagal mempamerkan Perakuan Bomba di lokasi yang mudah dilihat.
Susulan itu katanya, JBPM Negeri Sabah telah mengeluarkan dua kompaun terhadap premis terbabit.
Mohd Pisar berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kegagalan mempamerkan Perakuan Bomba, sijil dipamerkan di lokasi tidak sesuai serta dokumen tersebut hanya disimpan di pejabat pengurusan tanpa dipamerkan kepada umum.

Beliau menegaskan, walaupun tahap pematuhan keseluruhan adalah baik, masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan semua pemilik premis memahami tanggungjawab mereka terhadap aspek keselamatan kebakaran.
“Keselamatan kebakaran bukan hanya tanggungjawab JBPM, tetapi merupakan tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu katanya, JBPM Sabah akan meneruskan pemeriksaan berkala, operasi penguatkuasaan serta program advokasi dan kesedaran awam bagi memastikan tahap pematuhan terus dipertingkatkan.
Katanya, premis yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341].



