HomeUtamaMetMalaysia tingkat kesiapsiagaan, pantau perkembangan El Nino

MetMalaysia tingkat kesiapsiagaan, pantau perkembangan El Nino

Read Time:1 Minute, 21 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau rapi perkembangan fenomena El Nino yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam masa terdekat dan berkemungkinan berterusan sehingga awal 2027.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini berkata fenomena itu dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula pada14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September tahun ini. 

Beliau berkata keadaan itu berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan, MetMalaysia telah memperkukuh penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi berkaitan serta orang ramai,” katanya. 

Mohd Hisham berkata sehingga Jun 2026, MetMalaysia telah melaksanakan lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat serta program libat urus berkaitan cuaca panas dan kering pada peringkat kebangsaan, negeri serta daerah.

Beliau berkata antara sesi utama telah dilaksanakan ialah taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah di seluruh negara.

“MetMalaysia juga menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari ke hadapan, mengeluarkan ramalan jerebu serta bersedia membantu pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) jika diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan.

“MetMalaysia akan terus komited menyediakan maklumat cuaca yang tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi sebarang risiko cuaca ekstrem,” katanya. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan laman sesawang rasmi MetMalaysia selain menggunakan air secara berhemah serta mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Kementerian Perpaduan mahu perpustakaan lebih proaktif dekati masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular