Oleh Ahmad Fazlan
KUALA LUMPUR: Sabah berada di barisan hadapan dalam menerajui agenda tenaga hijau dan ekonomi biru di Asia, sekali gus membuktikan komitmen jitu negeri itu terhadap kelestarian alam sekitar yang seimbang dengan keadilan ekonomi demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim berkata, hala tuju strategik negeri itu mencerminkan komitmen seimbang terhadap kelestarian, keadilan ekonomi, dan pembangunan yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, kedudukan Sabah yang strategik serta kepimpinannya dalam tenaga hijau, tadbir urus karbon, perlindungan biodiversiti, dan pelan ekonomi biru meletakkan negeri itu sebagai rakan kongsi yang berwibawa dalam membentuk masa depan iklim di Asia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan dalam kunjungan hormat kepada Duta Besar Austria ke Malaysia, Gerhard Eisl, di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. James berkata, dalam Sidang Kemuncak Kelestarian dan Hijau Dunia (WGSS) 2026 yang berlangsung Mei lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menegaskan pendirian bahawa Sabah tidak boleh terus dilihat sebagai penyumbang modal semula jadi semata-mata, sebaliknya perlu menerima manfaat ekonomi yang adil hasil daripada sumbangan kelestarian tersebut.
”Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang terhasil bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia, rantau ini, dan seluruh dunia,” katanya memetik ucapan Hajiji.
Beliau menambah bahawa undang-undang tadbir urus karbon baharu Sabah turut melindungi hak masyarakat peribumi sebagai manifestasi keadilan iklim yang inklusif.
Dr. James turut menjelaskan bahawa Sabah sedang memperkukuh peranannya sebagai ‘sinki karbon’ utama menerusi perlindungan hutan secara semula jadi, termasuk di Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Rizab Biosfera Kinabatangan, yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO keempat di Malaysia pada Oktober 2025.
Mengenai masa depan tenaga dan pertumbuhan ekonomi, beliau berkata Sabah kini giat memfokuskan kepada tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, biojisim, dan biogas menerusi Pelan Halatuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.
Di samping itu, Pelan Ekonomi Biru Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang disokong dana pembangunan RM6.9 bilion bagi tahun 2026, akan memacu sektor perikanan, pelancongan maritim, dan projek berimpak tinggi seperti Pelabuhan Tuna Sabah di Kota Kinabalu, Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, serta teknologi Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC).
Dasar Perancangan Ruang Marin yang dilancarkan pada April 2026 juga telah mengenal pasti zon keutamaan untuk pembangunan dan pemuliharaan.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negeri yang sedang membangun, Sabah tidak perlu memilih antara melindungi alam semula jadi atau meningkatkan taraf hidup rakyat, kerana negeri itu mampu melaksanakan kedua-duanya secara serentak demi masa depan yang mampan.



